Anwar tiba di mahkamah....
KUALA LUMPUR 2 Feb. – Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba untuk perbicaraan kes liwat beliau di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 8.50 pagi ini.
Pemimpin-pemimpin Pakatan, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim, pemimpin popular DAP Lim Kit Siang, presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Ismail, timbalannya Dr Syed Husin Ali dan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail semuanya sudah tiba di mahkamah.
Ketibaan Anwar, anggota keluarganya dan Lim disambut dengan laungan "reformasi" dan hidup Anwar".
Media mula berkumpul sejak pukul 6 pagi
Wakil-wakil media mula berkumpul di ruang lobi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini hari ini seawal pukul 6 pagi untuk membuat liputan kes perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim meliwat bekas pembantunya, Saiful Azlan Bukhari.
Mahkamah sebelum ini menetapkan perbicaraan sepatutnya bermula pada 25 Januari lalu, tetapi ditangguhkan ke hari ini bagi mendengar keputusan permohonan Anwar yang juga Ketua Pembangkang bagi mendapatkan beberapa dokumen penting pendakwaan sebelum perbicaraan dimulakan.
Jumaat lalu, mahkamah Persekutuan yang mendengar permohonan tersebut menolak permohonan Penasihat Parti Keadilan Rakyat itu.
Perbicaraan Anwar: Polis adakan kawalan di sekitar lobi mahkamah
Lebih 20 anggota polis berada di sekitar lobi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini hari ini bagi mengawal keadaan kes perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menghadapi tuduhan meliwat bekas pembantunya, Saiful Azlan Bukhari.
Perbicaraan yang telah ditangguhkan berkali-kali sebelum ini dijangka bermula pada pukul 9 pagi ini.
Perbicaraan Anwar: Unit Pengesan Bom PDRM turut berkawal
Perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim ke atas pembantunya, Saiful Azlan Bukhari merupakan kes perbicaraan berprofil tinggi.
Sehubungan itu, enam anggota Unit Pengesan Bom dari Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut berada di dewan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini bagi memastikan aspek keselamatan terjamin setiap masa.
No comments:
Post a Comment