6.15.2009

Fenomena El Nino : Cuaca Paling Panas

El Nino datang lagi Ramadan ini...

Jerebu yang sedang melanda Kuala Lumpur merupakan petanda awal kedatangan El Nino. Pada Ogos ini, umat Islam khasnya di sekitar Lautan Pasifik buat julung kali akan merasai ‘kehangatan’ Ramadan seiring kemunculan fenomena El Nino.

Ramadan ini dijangka mengalami cuaca paling panas berikutan fenomena El Nino. Kali ini ujian sebenar Ramadan menyamai saudara seagama di bumi gersang Asia Barat.

El Nino dikatakan tanpa disedari sudah terbentuk namun kekuatannya cuma dapat dikenal pasti mulai Ogos ini. Justeru Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar merangka beberapa langkah awal bagi mengurangkan kesan fenomena itu.

Fenomena el nino bukanlah cuaca luar biasa malah selalu berulang pada setiap empat tahun. Malangnya, kita seperti tidak belajar daripada sejarah dan ia dapat dilihat ketika kejadian El Nino terburuk berlaku pada 1982, 1983, 1997 dan 1998. Waktu itu, negara teruk dilanda jerebu dan lebih parah, mengalami kekurangan bekalan air mentah.

Apa yang diharapkan, pihak berkuasa perlu menghadapi El Nino dengan penuh persediaan rapi, bukan digerunkan dengan amaran krisis air yang bakal melanda akibat beberapa empangan mengalami susut stok tadahan.

Hakikatnya, fenomena berulang itu tidak banyak mempengaruhi purata iklim setempat. Sebaliknya cuaca panas melampau kebanyakan disumbangkan oleh faktor persekitaran semasa seperti penebangan hutan dan pembakaran sengaja.

Lazimnya, antara ungkapan popular yang sering menjadi petua orang kita mengenai petunjuk ketibaan bulan Ramadan ialah azan Maghrib semakin awal. Juga suhu panas pada tengah hari sesuai dengan maksud asal Ramadan dalam bahasa Arab.

Semoga ramadan yang akan bakal datang nanti akan lebih memberi pengajaran yang penuh bererti kepada kita semua seiring dengan hadirnya fenomena el nino.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails