4.23.2013

BERITA PANAS : Zulkifli Noordin Bakal Tersungkur Di Shah Alam

Naib Pengerusi MIC Shah Alam C Supayah bersama 104 Pengikutnya Keluar Parti...

Klik imej untuk paparan video

KUALA LUMPUR, 23 April — Naib pengerusi MIC Shah Alam C Supayah bersama 104 pengikutnya hari ini keluar daripada parti tersebut sebagai tanda bantahan terhadap Barisan Nasional (BN) kerana meletakkan Datuk Zulkifli Noordin sebagai calon di kerusi Parlimen Shah Alam. 

Perkembangan terbaru ini memberi tamparan hebat kepada BN terutamanya dalam misi untuk merampas negeri Selangor dan pemimpin utama MIC S Vell Paari juga pernah memberikan amaran sama sebelum ini.

"Ya, hari ini saya hantar surat keluar parti... seramai 104 pengikut saya juga mengambil tindakan sama," kata Supayah apabila dihubungi The Malaysian Insider hari ini.

Supayah yang memegang jawatan sebagai Naib Pengerusi MIC Shah Alam sejak 2009 juga memberikan tiga alasan mengambil langkah keluar parti, salah satu sebab utamanya adalah kerana faktor pengumuman Zulkifli dari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) sebagai calon BN di Shah Alam.

"Sebab pertama adalah kerana meletak calon Perkasa Zulkifli Noordin, dia sebelum ini telah menghina masyarakat India dan penganut agama Hindu.

"Bukankah itu jelas penghinaan?" kata Supayah lagi. Faktor kedua yang menyebabkan beliau mengambil keputusan tersebut adalah kerana tindakan Ketua Bahagian Umno Shah Alam Datuk Ahmad Nawawi Mohd Zin memijak kepala lembu pada tahun 2009 disamping tindakan calon BN Che Johan Che Pa di Pasir Mas yang memberikan laluan kepada Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali untuk mempertahankan kerusi parlimen tersebut.

"Sebab kedua adalah kerana Datuk Nawawi kerana beliau pernah menghina penganut Hindu dengan memijak kepala lembu pada 2010 dan sebab ketiga adalah kerana calon BN memberi laluan kepada Ibrahim Ali bertanding.

"Bukankah itu bermaksudnya Umno sokong Perkasa," kata Supayah yang tidak berpuas hati dengan tindakan BN memberi dua kerusi kepada calon bebas daripada Perkasa.

Supayah yang juga pengerusi MIC Shah Alam Seksyen 18 timur, dimana semalam Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak baru melawat berkata keputusan yang dibuatnya itu mendapat sokongan rakan beliau dan juga pemimpin India lain.

"Sebaik saya buat pengumuman itu, saya menerima banyak panggilan daripada rakan dan juga orang yang tidak dikenali... semua mereka mengucapkan tahniah kerana keberanian saya berbuat demikian," terangnya lagi.

Semalam, Najib selepas lawatannya di Shah Alam mengeluarkan kenyataan mempertahankan Zulkifli bertanding kerusi parlimen tersebut dan berkata bekas ahli parlimen PKR tersebut sudahpun berjuang untuk isu melibatkan kaum India seperti Sekolah Tamil serta kuil dan rakyat sudah mula menyokong beliau.

Walaubagaimanapun, pencalonan Zulkifli sebagai calon Shah Alam menyebabkan gabungan pemerintah tersebut menerima banyak kritikan terutama apabila baru-baru ini video beliau menghina penganut agama Hindu tersebut luas di ruang internet.

Fokus terarah kepada Selangor, yang dikatakan nadi kepada kepesatan ekonomi dan pentadbiran PR dibawah Menteri Besar (MB) sepenggal Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang didakwa oleh BN gagal mempamerkan prestasi baik untuk mengekalkan sokongan seperti pada tahun 2008 lalu.

PR selepas pilihan raya umum 2008 mempunyai penguasaan yang ketara keatas negeri terkaya tersebut dan memegang 36 kerusi daripada 56 kerusi dewan undangan negeri serta 17 daripada 22 kerusi parlimen.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails