10.12.2010

Budak Sekolah Curi Motosikal

9 pelajar sekolah antara ditahan curi motor...


YAN: Dua belas orang termasuk sembilan pelajar sebuah sekolah di sini berumur antara 15 dan 21 tahun ditahan polis dalam dua operasi berasingan pada 4 Okt. dan semalam kerana mencuri motosikal.

Ketua Polis Daerah Yan DSP Ismail Abu berkata dalam operasi Ops Lejang Bersepadu semalam, polis menahan lima suspek, termasuk tiga pelajar sekolah, iaitu dua ditahan di sekolah dan tiga lagi di rumah masing-masing di Singkir Badung di sini.

"Polis telah merampas tiga buah motosikal curi dan sebuah motosikal yang menggunakan komponen yang dicuri manakala polis juga turut merampas empat rangka motosikal dan beberapa komponen yang lain yang telah dibuang ke dalam sungai,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Yan di sini hari ini.

Beliau berkata selepas kelima-lima suspek itu ditahan, mereka telah membawa pasukan polis ke Sungai Segantang Garam dan menunjukkan tempat rangka dan komponen motosikal itu dibuang.

"Semua suspek ini mempunyai pertalian persaudaraan dan rumah mereka juga berdekatan,” katanya.

Ismail berkata dalam operasi berasingan iaitu pada 4 Okt lepas, polis telah menahan tujuh suspek termasuk enam masih bersekolah kerana melakukan kes yang sama.

"Mereka juga berasal dari kampung dan sekolah yang sama dengan kes semalam tetapi mereka itu adalah kumpulan yang berbeza.

"Suspek telah membawa pihak polis ke hutan paya bakau Sungai Pial dan polis menjumpai sebuah rangka motosikal di situ,” katanya.

Beliau berkata semua suspek direman selama empat hari dan disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

"Dengan tertangkapnya dua kumpulan ini, kita telah menyelesaikan banyak kes kecurian di sekitar daerah ini dan Sungai Petani,” katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails