Iklan kemasukan ke Kolej Komuniti sesi Julai 2010 klik di sini
JOHOR BAHRU - Masyarakat pelbagai kaum wajar menjadikan Kolej Komuniti sebagai ruang dan peluang ke arah proses pembelajaran sepanjang hayat.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, individu yang tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke institusi pendidikan formal boleh mempelajari kemahiran khusus di Kolej Komuniti.
Menurutnya, kira-kira 450,000 calon menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) setiap tahun dan seramai 100,000 belia tercicir sementara selebihnya menyambung pendidikan di institusi pengajian tinggi (IPT), politeknik dan tingkatan enam.
“Golongan yang lulus SPM, tetapi tidak berpeluang menyambung pelajaran di mana-mana institusi pendidikan boleh mendapatkan kemahiran di Kolej Komuniti sebelum ke alam pekerjaan.
“Kolej Komuniti mengatur kemahiran yang diperlukan syarikat dalam industri dengan menyediakan program sesuai berserta elaun sepanjang pelajar menjalani latihan kemahiran,” katanya kepada media selepas merasmikan Seminar Celik Niaga anjuran Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Pasir Gudang, di sini, semalam.
Turut hadir, Pengarah Kolej Komuniti Pasir Gudang, Zarina Othman; Naib Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang, Ahmad Daud dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Pasir Gudang, Raja Norasyikin Raja Ali.
Khaled berkata, golongan sudah bekerja juga wajar menyambung pelajaran dalam program sesuai di Kolej Komuniti untuk menambah ilmu, sejajar konsep pembelajaran sepanjang hayat. - SHarian
No comments:
Post a Comment