Jadilah pengguna yang bijak...
Semalam Wak ada email kan aduan ke pihak HQ Mydin. Lebih kurang dalam pukul 12 tengahari wakil pihak Mydin telah call. Mereka menyatakan terima kasih di atas keperihatinan yang Wak telah buat dalam isu logo halal.
Wak pun ucapkan terima kasih kembali kerana begitu pantas memberikan respon terhadap aduan pelanggan. Wak memang ’tabik spring’ lah pada pihak pengurusan Mydin.
Bila Wak bukak email, wakil dari pihak Mydin telah memberikan respon tentang aduan yang telah Wak buat. Wah!! Memang hebat!! Tak cukup call, di baginya email laa pulak. Barulah kita respect dengan pihak pengurusan Mydin terutama bahagian aduan pelanggan.. Tahniah dan Syabas!!!
Wak ada sisipkan di entri ini salinan aduan pelanggan yang telah Wak emailkan ke pihak HQ Mydin dan juga jawapan dari wakil bahagian aduan pelanggan Mydin..
Email yang Wak antar...
Salam...
Saya terpanggil untuk memberi komen mengenai jualan barangan pihak tuan yang tidak menggunakan logo halal yang dibenarkan dalam barangan kentang goreng segera. (ada beberapa barangan lagi yang dapat saya perhatikan).
Untuk pengetahuan pihak tuan, saya ada mengambil gambar tersebut di Mydin Melaka.
Saya mencadangkan agar pihak tuan dapat mengeluarkan semua barangan yang tidak mempunyai logo halal yang dibenarkan dari permis jualan tuan. Ini bagi menjaga imej Islam itu sendiri dimana Mydin memang telah diketahui ramai adalah milik orang Islam.
Saya berharap agar pihak Mydin menjadikan isu saman RM1.6 juta kepada pihak Tesco baru-baru ini sebagai pengajaran dan saya percaya jika pihak tuan tegas dalam hal ini maka tiada syarikat yang sewenang-wenangnya mengunakan logo halal yang palsu.
Untuk pengetahuan pihak tuan, saya adalah pelanggan utama Mydin Melaka dengan menjadi pelanggan tetap bagi menyokong syarikat yang diterajui oleh orang Islam.
Saya berharap komen saya ini diambil tindakan serius. Saya juga tidak teragak-agak untuk membawa isu ini ke pihak yang berwajib jika tiada tindakan susulan dari pihak tuan demi menjaga maruah Agama Islam.
Semoga isu ini dalam pengetahuan dan pertimbangan pihak tuan.
sekian terima kasih.
Balasan email dari pihak Mydin...
Assalamualaikum Encik Emran,
Pihak kami mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kerana Tuan sudi memaklumkan kepada kami berkenaan dengan produk tersebut yang terdapat di hypermarket kami.
Sebagai sebuah perniagaan milik anak tempatan yang beragama Islam, kami sememangnya amat mengambil berat mengenai status Halal setiap produk ataupun barangan yang dijual di semua rangkaian perniagaan kami. Kami juga amat berbangga kerana mempunyai pelanggan seperti Tuan yang mengambil berat dan peka mengenai perkara ini.
Pihak kami memandang serius perkara ini dan akan mengambil tindakan selanjutnya. Tuan juga ada menyatakan yang Tuan ada mengambil gambar barangan tersebut, dan jika tidak menjadi keberatan dan tidak menyusahkan pihak Tuan, kami memohon kerjasama Tuan untuk emailkan kepada kami gambar-gambar barangan tersebut bagi memudahkan pihak kami menjalankan siasatan dan mengambil langkah yang selanjutnya.
Pihak kami mengucapkan terima kasih sekali lagi diatas keikhlasan Tuan untuk memaklumkan perkara ini kepada kami. Sesungguhnya ianya amat berguna kepada kami untuk memperbaiki dan meningkatkan lagi perkhidmatan kami untuk masa-masa yang akan datang.
Akhir sekali, terima kasih kerana memilih MYDIN sebagai tempat membeli-belah Encik Emran sekeluarga dan teruskan menyokong perniagaan milik anak tempatan ini. Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan dan makluman, Encik Emran bolehlah berhubung terus dengan saya.
Sekian Terima Kasih. Wassalam.
Moral of the story.....
Kita sebagai pengguna kena peka dengan isu logo halal. Jadikan iktibar apa yang telah berlaku baru-baru ini dalam kes saman RM 1.6 juta terhadap pasaraya Tesco di mana ayam yang dijual mempunyai logo halal yang meragukan. Dan hasilnya sembelihan yang dilakukan terhadap ayam yang dijual kepada pelanggan termasuk yang beragama Islam tidak sempurna mengikut kehendak syarak.
Justeru, sebagai pengguna Islam, kita mesti lebih kuat dan lebih bersatu dalam menuntut dan menunjukkan sensitiviti kita dalam hal ini. Ia tidak boleh dibuat sambil lewa. Bukan sahaja di hypermarket yang diterajui oleh mereka yang beragama Islam, malahan kepada supermarket, kedai makan, kedai runcit dan sebagainya diseluruh negara.
Malah, teori dan model ini juga telah diiktiraf oleh system kapitalis barat sendiri, yang mana mereka mengiktiraf perlunya interaction of supply and demand di antara pembekal dan pengguna. Bagi mereka ia penting bagi mencipta kesimbangan atau ‘equilibrium' yang menjamin apa yang terbaik buat pengguna sahaja kekal di pasaran.
Termasuklah dalam hal ini, sistem politik, ekonomi, kepimpinan, makanan, pakaian dan lain-lain yang menuruti disiplin Islam, pasti sesuai buat semua dan baik untuk semua.
Kesimpulannya, proses ini bermula dari diri kita, maka bertindaklah. Mari bertindak menjauhi ayam tidak sembelih atau yang tiada tanda halal yang sah, makanan yang tiada logo halal @ ada logo tapi meragukan, sistem kewangan tidak halal, sistem pemerintahan tidak halal, sistem pendidikan tidak halal, dan banyak lagi yang belum atau tiada logo halal.
Bertindaklah tepat pada masanya sebelum kita dihinjek-hinjek (pinjam dari bahasa Jawa) hasil kelemahan sistem ini di dunia, dan dihinjek-hinjek di kubur hasil kerana kealpaan dan tiada kepekaan kita.
Tepuk dada tanya iman.....
No comments:
Post a Comment