3.30.2010

Kolej Komuniti : Peluang Pembelajaran Sepanjang Hayat

Iklan kemasukan ke Kolej Komuniti sesi Julai 2010 klik di sini


JOHOR BAHRU - Masyarakat pelbagai kaum wajar menjadikan Kolej Komuniti sebagai ruang dan peluang ke arah proses pembelajaran sepanjang hayat.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, individu yang tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke institusi pendidikan formal boleh mempelajari kemahiran khusus di Kolej Komuniti.

Menurutnya, kira-kira 450,000 calon menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) setiap tahun dan seramai 100,000 belia tercicir sementara selebihnya menyambung pendidikan di institusi pengajian tinggi (IPT), politeknik dan tingkatan enam.

“Golongan yang lulus SPM, tetapi tidak berpeluang menyambung pelajaran di mana-mana institusi pendidikan boleh mendapatkan kemahiran di Kolej Komuniti sebelum ke alam pekerjaan.

“Kolej Komuniti mengatur kemahiran yang diperlukan syarikat dalam industri dengan menyediakan program sesuai berserta elaun sepanjang pelajar menjalani latihan kemahiran,” katanya kepada media selepas merasmikan Seminar Celik Niaga anjuran Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Pasir Gudang, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengarah Kolej Komuniti Pasir Gudang, Zarina Othman; Naib Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang, Ahmad Daud dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Pasir Gudang, Raja Norasyikin Raja Ali.

Khaled berkata, golongan sudah bekerja juga wajar menyambung pelajaran dalam program sesuai di Kolej Komuniti untuk menambah ilmu, sejajar konsep pembelajaran sepanjang hayat. - SHarian

3.29.2010

Kuasa politik dan kuasa agama

Artikel pilihan oleh Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Ada yang menyatakan kepada saya bahawa dia bimbang negara ini menjadi negara mullah (clergy state) yang akan melarang kebebasan bersuara seperti yang saya dan beberapa pendakwah lain alami. Kata mereka, apabila kuasa agama mencengkam, ramai yang akan terhalang haknya seperti apa yang berlaku di Eropah sebelum Revolusi Perancis.

Saya jawab, saya tidak bimbang dengan pengaruh Islam terhadap negara, bahkan itulah harapan saya sebagai Muslim. Islam dibina atas keadilan dan rahmat. Apa yang saya bimbang adalah cengkaman sesetengah kelompok bernama agama yang berfikiran sempit, fanatik atau berkepentingan sehingga meminggirkan prinsip-prinsip keadilan seperti yang berlaku di Afghanistan dan Nigeria. Bukan salah Islam, tapi salah guna kuasa.

Kita hendaklah mengenal pasti kerjasama antara golongan politik dan agama itu sama ada demi kepentingan kuasa atau kepentingan Islam yang berasaskan keadilan dan kerahmatan.

Dipetik dari Malaysiakini. Bacaan lanjut klik di sini

3.28.2010

A SAMAD SAID: Sebuah Catatan Memori Memali

Kebenaran di Memali....

DUA minggu lalu saya kembara ke Kedah. Saya ke Memali sebenarnya. Saya menyukat degup jantung negara. Rancangan awalnya saya hanya ingin ke sebuah madrasah di Padang Lumat — berceramah syahdu sambil menderma buku. Tapi, terlanjur dekat, saya terindu ke Memali.

Selama ini saya hanya mendengar sejarah pilunya. Sekelompok pendakwah di situ diwarnakan sebagai penyebar ajaran sesat yang jati.

Dakwaan pedih itulah yang mendorong saya untuk mencari setitis kebenaran seputarnya. Kisah peristiwa Memali berdarah itu sebenarnya tertinggal di simpang jalan. Kita dipamerkan dua buah lukisan abstrak yang sangat berantakan. Dari sisi pemerintah, kelompok pendakwah ini 'sah' penyebar ajaran sesat. Tapi, dari sisi keluarga Allahyarham Ibrahim Libya, kelompok itu diluhuri perjuangan syahid.

Saya cuma ingin menaati pesanan Ka'ab bin Malik. Kebenaran sangat utama. Sahabat Rasulullah s.a.w itu bercakap benar. Ka'ab mengakui kesilapannya terlupa menyertai rombongan pejuangan syahid ke Tabuk. Allah Yang Maha Kuasa memaafkan dosa hambanya itu kerana ketulusan pengakuan hamba tersebut. Saya coba mengunyah iktibar di sebaliknya.

Dalam negara kita kini memang banyak kecuaian sedemikian.

Lihatlah...
terhidu wabak menyonglap dana
tersebar istilah berubah makna
terpercik ghaib enjin 'jet' sendiri
tertular pejuWang melelong diri.

Apabila kita mula ghairah
menimbus kebenaran sebagai kepalsuan
dan serentak menggali kepalsuan sebagai kebenaran
kita mereputkan akar peribadi bangsa
jika berlanjut... kita bakal menjadi bangsa yang sebal.

Lihatlah...
kita sudah jarang mengingati Visi 2020.
Adakah lagi wawasan itu?
Kita semakin jarang menyebut agenda pertingkat penduduk ke 40 juta
Memang adakah dasar rasminya?
Kita mula melupai Islam Hadhari.
Apakah kini memang harinya terhad?

Contohi Jom Heboh di Kelantan

Format asing penonton tiada masalah....



Dalam penganjuran konsert hiburan pentas yang diadakan malam ini, penonton telah diasingkan dalam tiga peringkat iaitu kaum lelaki, perempuan dan juga berkeluarga (gambar bawah) dan menampilkan hanya penyanyi lelaki sahaja.



Walaupun ini kali pertama konsert yang tidak ada artis wanita, namun ia amat berjaya dan stadium dipenuhi orang ramai yang dianggarkan hampir 40,000 hadirin yang menampilkan artis lelaki seperti Jamal Abdillah, Jay Jay, Yassin, Kumpulan Raihan termasuk Megat Nordin.

Kelantan sememangnya tidak menghalang mana-mana pihak untuk tampil untuk mengadakan pelbagai bentuk hiburan, namun ia mestilah mematuhi enakmen hiburan negeri yang telah menjadikan dasar Islam sebagai garis panduan.

Setiap kali masuk waktu Maghrib, azan telah dikumandangkan dan penyediaan tempat solat yang banyak juga turut memberi keselesaan kepada pengunjung.

P/s: Semoga pemerintahan negeri Kelantan sentiasa mendapat keberkatan dan 'kemenangan' yang berterusan di bawah kepimpinan Tuan Guru.. Amin!!!

Tahniah DS Dr Chua Soi Lek

Ini ke yang dimaksudkan ”Pemimpin Bermukah”....

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Chua Soi Lek diisytiharkan sebagai Presiden parti dengan meraih 901 undi, Ong Ka Ting (833 undi) dan Tee Keat (578 undi).

Manakala Datuk Seri Liow Tiong Lai menang jawatan Timbalan Presiden dengan 1171 undi, mengalahkan Datuk Seri Kong Cho Ha (1106 undi).

Empat jawatan naib presiden dimenangi oleh Datuk Seri Ng Yen Yen (1,528 undi), Datuk Donald Lim Siang Chai (1,469 undi), Datuk Chor Chee Heung (1,202 undi) dan Gan Ping Sieu (1,202 undi).

Datuk Seri Dr Ng Yen Yen (1,528 undi), Datuk Donald Lim Siang Chai (1,469 undi), Datuk Chor Chee Heung (1,202 undi) and Gan Ping Sieu (1,202 undi). - Mstar

Cerita berkenaan "Pemimpin Bermukah" klik di sini

Kempen anda telah GAGAL..... Sabor je lah!!!!



3.27.2010

Kenapa Benjy Ditahan Semula.....

Kes Benjy babitkan dadah jenis sintetik – Hishammuddin

PUTRAJAYA 26 Mac – Kes membabitkan pelakon Khaireyll Benjamin Ibrahim atau Benjy, 31, yang ditahan semula untuk siasatan lanjut, membabitkan dadah jenis sintetik, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata, kerajaan memberi tumpuan yang serius dalam menangani dadah jenis itu kerana pengambilannya, walaupun sekali, boleh menyebabkan seseorang itu menjadi penagih dadah.

Katanya, begitu juga kes yang membabitkan seorang bekas pemain sepak takraw wanita kebangsaan.

"Saya dah maklumkan awal dulu, kita dalam konteks dadah sintetik ini, perlu menanganinya dengan kesungguhan luar biasa.

"Ini kerana pengambilan dadah jenis itu walaupun sekali sahaja, boleh menyebabkan menjadi penagih dadah.

“Kedua, tiada jalan untuk pemulihan dan ketiganya, ia mudah dibawa ke mana-mana,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca-kabinet peringkat kementerian, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan ibu artis itu, dramatis dan pelakon terkenal, Azean Irdawaty bahawa pihak polis tidak menjelaskan lebih terperinci berhubung penahanan semula anaknya itu.

Benjy ditahan semula semalam untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 3 Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1952) selepas dua jam dibebaskan.

Dia sebelum itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas tuduhan memiliki 0.24 gram syabu. – Bernama

Sekadar renongan...

Kepada semua anak bangsa dan generasi muda...

Jalan yang terbaik adalah mengelakkan diri daripada mengambil dadah. Sebagai umat Islam melalui Al Quran kita telah dilarang daripada mengambil bahan-bahan yang memabukkan seperti arak dan ini termasuklah juga dadah. Pengharaman ini sebenarnya mengandungi hikmat yang tersendiri untuk kebaikan hambaNya.

Jika menyedari bahaya dan risiko pengambilan dadah ini, sudah tentu ramai yang tidak akan menggunakannya. Namun, kerana faktor kejahilan dan menurut hawa nafsulah maka dadah diambil untuk kepentingan sementara tanpa menyedari potensi yang dibawanya sebagai pembunuh nombor satu dunia.

Kelayakan KPN: Sivarasa dipanggil beri keterangan

Bercakap bohong.. lama-lama mencuri.....

KUALA LUMPUR, 26 Mac: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Sivarasa Rasiah hari ini dipanggil memberi keterangan mengenai laporan polis yang dibuatpada 24 Mac lalu terhadap Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan yang didakwa membuat kenyataan palsu dalam prosiding Mahkamah.

Beliau hadir jam 3.00 petang tadi memberi keterangan hampir satu jam di ibu pejabat polis IPD Dang Wangi.

"Mereka minta bukti saya ada untuk menunjukkan bahawa Tan Sri Musa Hassan telah membuat kenyataan palsu dalam mahkamah.

"Saya sebut saya lampirkan dalam laporan polis saya, saya kepilkan nota prosiding mahkamah.

"Ini bukan cerita dengar cakap, saya dapat bukti kukuh berdasar nota prosiding yang ditaip di mahkamah", katanya ketika ditemui pemberita selepas itu.

Rabu lalu, Siva membuat satu laporan polis terhadap Musa Hassan yang didakwa memberikan pengakuan palsu berhubung kelayakannya pada perbicaraan kes rasuah Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998.

Menurut Sivarasa, semasa kes perbicaraan Anwar pada tahun 1998 di mana Musa Hassan sebagai Pegawai Siasatan, beliau menyatakan di depan Hakim Augustine Paul dengan mengatakan beliau mempunyai ijazah apabila disoal oleh peguam Christopher Fernando.

Tetapi ujarnya, semasa perbicaraan rasuah bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Datuk Ramli Yusuff di Mahkamah Sesyen Sabah, Musa dalam prosiding kehakiman memberitahu beliau mempunyai diploma undang-undang dan kajian pengurusan.

Pada masa yang sama, beliau juga turut mengesyorkan kepada kerajaan supaya menghentikan tempoh perkhidmatan ketua polis negara itu.

Baginya, Musa sebagai pegawai tinggi kerajaan sudah hilang integriti dan kredibiliti apabila melakukan pembohongan di mahkamah.

"Sekarang ini bukan isu dia ada diploma atau ijazah, isunya dia berbohong di mahkamah.

"Kalau nak tahu dia ada diploma atau ijazah, baik tanya dia sendiri," katanya. - Harakahdaily

Teringat zaman kanak-kanak ... Emak selalu pesan dengan berpantun :
"Siakap senohong gelama ikan duri
Bercakap bohong lama-lama jadi pencuri..."

Yang tak kenal ikan-ikan tuu... korang tengoklah kat gambar nie yaaa!

SIAKAP...



SENOHONG.....



GELAMA....



IKAN DURI.... (Nie rasanya ikan baung tapi kira ikan berduri kot...)



3.25.2010

Pendapatan Negara Dari Hasil Judi

Dimana kita....

Dalam masyarakat kita, terlalu banyak unsur-unsur yang membawa kerosakan. Salah satu daripada kerosakan itu ialah judi. Namun, dalam beberapa keadaan tertentu 'industri' perjudian itulah antara yang kita tumpukan sekarang ini.

Industri perjudian terkait dengan lesen. Dan lesen perjudian pula ada berkait rapat dengan persetujuan daripada pemerintah di sesebuah negara terhadap industri itu. Sejak beberapa lama, Magnum, Toto dan sebagainya telah beroperasi.

Dan malangnya, orang Melayu Islam kita juga yang telah banyak menimbulkan masalah di dalam hal ini.

Lagi pula, mereka inilah yang akan menaja biaya untuk keperluan parti menjelang pilihan raya umum nanti. Maka, hubungan parti pemerintah dengan taukeh-taukeh judi ini seperti 'win-win situation'; pendekatan menang sama-sama menang.

Semua pihak, tak kira apa pun bangsa dan kepercayaannya akan disoal mengenai apakah yang telah kita lakukan di dunia ini.

Jika kita tidak menikam nombor ekor sekali pun, kita akan disoal, 'Apa yang kamu lakukan untuk menyedarkan mereka agar tidak berjudi?'

Ertinya, jangan fikir mudah bahawa dengan solat dan puasa kita sahaja, kita akan terlepas daripada pertanyaan semacam ini. Kenapa kita tak bergerak, sesuai dengan kekuatan kita untuk memastikan masyarakat tidak terjebak dengan amalan haram ini?

Itu di peringkat orang bawahan. Pihak atasan yang meluluskan lesen perjudian bagaimana pula halnya?

Sama-sama kita fikirkan dari petikan di bawah (dalam persidangan Parlimen baru-baru ini)…..

Najib dalam jawapannya kepada soalan Siew Fook pada 22 Mac memberitahu, jumlah cukai perjudian dan duti pertaruhan yang diterima kerajaan daripada semua operator nombor ramalan (NFO) pada 2009 berjumah RM1,199,574,646.73.Jumlah kutipan tertinggi ialah daripada syarikat Sports Toto.

Manakala bagi soalan Siew Fook pada 18 Mac mengenai tindakan kerajaan meluluskan 60 cabutan khas untuk tahun 2010, Najib memberitahu, hasil cukai yang dikutip oleh kerajaan memainkan peranan penting dalam memastikan semua program dan aktiviti pembangunan dan perbelanjaan mengurus negara dapat dilaksanakan seperti yang dirancang bagi memastikan objektif pertumbuhan ekonomi negara dapat dicapai.

Berita penuh klik di sini

P/S : Firman Allah yang maksudnya :

Mereka bertanya kpd engkau ( Wahai Muhammad) mengenai arak & judi. Katakanlah : " Pada kedua-duanya dosa besar & ada pula beberapa menafaat bagi manusia, tetapi dosa kedua-duanya lebih besar drpd manafaatnya." Dan mereka bertanya pula kpdmu "Apakah yg mereka belanjakan (dermakan)"? Katakanlah : "(dermakanlah apa-apa) yg berlebihan drpd keperluan (kamu)". Demikianlah Allah menerangkan kpd kamu ayat-ayat ( keterangan hukuman) supaya kamu berfikir "( Surah Al Baqarah: Ayat 219 )

3.22.2010

Klinik 1Malaysia Berkualiti Rendah

1Malaysia... Malaysia Boleh!!

Klinik 1Malaysia dikatakan memberi perkhidmatan perubatan yang berkualiti rendah, sehingga ada pesakit yang diberi salah nasihat dan juga bekalan perubatan yang silap.

Dr T Jayabalan, yang mewakili pekerja dan Majlis Kesatuan Pekerja Malaysia (MTUC) mendakwa, kajian klinik-klinik 1Malaysia yang dilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendapati ada pegawai pembantu perubatan memberikan ubat yang silap kepada pesakit.

Kajian berkenaan didakwa dilakukan di Kampar, Perak.

“Mereka memberi preskripsi untuk ubat yang salah dan ada juga yang membekalkan ubat yang mereka tidak ditauliahkan untuk berbuat demikian.
"Ada juga yang didapati gagal mengenalpasti sakit yang dihadapi oleh pengunjung klinik itu,” kata Jayabalan yang juga adalah penasihat kesihatan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).

“Walaupun, penyediaan klinik-klinik itu adalah tindakan yang mulia untuk membolehkan golongan kurang upaya mendapatkan bantuan kesihatan, namun kita mahu pesakit diberikan akses perubatan yang berkualiti,” katanya.

Doktor berpengalaman itu yang kini berrkhidmat di sebuah hospital swasta di Pulau Pinang membuat pendedahan berkenaan ketika ceramahnya di Kompleks Caring Society di Pulau Pinang yang berjudul “Apa silap dengan sistem kesihatan kita” pada Sabtu lalu.

Majlis itu anjuran Forum Sembang-sembang, sebuah pertubuhan yang memperjuangkan isu sosial dan awam. Ia dipengerusikan oleh bekas ahli dewan undangan negeri Machang Bubok yang mewakli Gerakan, Toh Kin Woon.

Jayabalan juga melahirkan rasa terkejutnya kerana 44 klinik berkenaan yang ditubuhkan sejak Januari lalu bagi membantu golongan berpendapatan rendah di bandar gagal ditubuhkan secara telus.

Dakwanya, kebanyakan doktor kurang mengetahui mengenai projek klinik 1Malaysia itu.

3.17.2010

Sukarnya Mencari Barangan Halal Di Negara Kita

Ops halal: Penguatkuasa, media dikurung empat jam...

Nampaknya para pengguna beragama Islam terus-terusan dipermainkan oleh pembekal ayam terutama di pasar raya seluruh negara. Dan yang terbaru di sebuah pasar raya di Pulau Pinang.

Nampaknya kita semua terdedah dengan makanan yang diragui tentang kehalalannya. Entahlah mengapa mereka semua tidak peka dengan sensitiviti umat Islam yang pastinya menjadi pelanggan utama di pasar raya seluruh negara.

Apakah perlu umat Islam diseluruh negara memboikot produk bukan Islam baru mereka nak sedar. Kita sebagai umat Islam masih tebal nilai kesabarannya yang mana tidak memandang tentang siapa pengusaha makanan termasuklah makanan mentah, makanan kering dan sebagainya. Janji mereka patuh dengan syarat-syarat untuk mendapatkan sijil halal.

Jangan sampai kita umat Islam berkempen untuk membeli barangan yang dikeluarkan oleh orang Islam sahaja. Sudah pastinya ia menimbulkkan sentimen agama yang boleh mengeruhkan keharmonian seluruh rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama.

Fikir-fikirkanlah saudara Islam semua.....

Seorang pemilik kilang penyembelihan ayam di kawasan Taman Halal Pedas dekat Rembau bertindak mengurung 12 anggota penguatkuasa dan wakil media selama empat jam di premis itu semasa satu operasi semalam.

Pada kejadian jam 4 petang itu, sekumpulan enam anggota dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan enam daripada Kementerian perdagangan Dalam negeri, Koperasi dan Kepenggunaan membuat serbuan ke atas kilang itu.

Lima wakil media turut bersama dalam operasi itu untuk memeriksa kesahihan logo halal yang digunakan oleh kilang itu.

Bagaimanapun, seorang wartawan dalam kumpulan itu berjaya melepaskan diri lalu meminta bantuan polis.

Seramai 10 anggota polis dari Ibupejabat Balai Polis Daerah Rembau kemudian membebaskan kesemua yang terperangkap.

Ketika ditemui, Penolong Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim, Mohd Amri Abdullah, enggan mengulas mengenai tindakan lelaki berusia awal 40an itu.

"Saya hanya boleh katakan, sijil halal milik kilang ini akan digantung sehingga siasatan selesai," katanya kepada pemberita selepas keluar dari kawasan kilang pada pukul 8 malam semalam.

Sementara itu, wakil media dari TV3, Shamsul Liani Abbas yang terperangkap di kilang itu memberitahu, beliau difahamkan pasukan Jakim dan kementerian terbabit datang dari ibupejabat mereka di Putrajaya selepas menerima maklumat dari Pulau Pinang.

"Di Pulau Pinang, pasukan Jakim telah menyerbu sebuah pasar raya di mana ia menjual ayam yang mempunyai sijil halal JAKIM tetapi sembelihannya diragui," katanya kepada Bernama.

Apabila berjaya mengesan alamat kilang penyembelihan pada bungkusan ayam terbabit, pasukan dari Putrajaya ini telah menyoal siasat pemilik kilang sebelum lelaki itu menjadi berang.
- Bernama

3.15.2010

Tuanku Mizan ucap tahniah kepada Chong Wei

Kejayaan cemerlang 2010...

KUALA LUMPUR 15 Mac – Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin mengucapkan tahniah kepada Datuk Lee Chong Wei yang menjuarai Kejohanan Badminton All England semalam.

Ucapan itu disampaikan Seri Paduka ketika bertitah merasmikan sidang Penggal Ketiga Parlimen ke-12 di Dewan Rakyat hari ini.


Tahniah, tahniah dan tahniah sekali lagi. Dato’ Lee Chong Wei akhirnya berjaya bergelar JUARA perseorangan pertandingan badminton All England 2010 kali ke-100.

Congratulations Dato’.

Puas melihat kelibat Dato' digelanggang malam tadi. Saya bangga menjadi rakyat Malaysia.

p/s :
Malam tadi Wak cukup terharu bila melihat Chong Wei memeluk Hj Misbun selepas merangkul kemenangan. Lebih terharu ketika beliau bersalaman dengan para peminat... bila beliau berpatah balik semasa berjalan untuk kutip Jalur Gemilang yang terjatuh ke lantai.

Walau dalam kegembiraan dengan sanjungan dari para peminat, beliau masih lagi wujud rasa cintakan negara.... Malaysia negaraku yang tercinta.


3.12.2010

Subhanallah!!! Maha Suci Allah....

Hujan turun sebaik sahaja Solat Istisqa' dimulakan....

Wak cukup terharu bila membaca berita dari para blogger tentang Solat Sunat Istisqa' yang diimamkan oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Kita pun sedia maklum sebelum ini macam-macam tohmahan termasuklah serangan peribadi beliau oleh media massa dan elekttonik.

Namun berita sebegini pastinya tidak akan keluar dalam media yang ditunjangi oleh sang pemerintah yang sentiasa menyiarkan keburukan dipihak pakatan rakyat. Marilah bersama-sama memohon doa agar sang pemerintah yang ada sekarang ini dibukakan hatinya dan diberikan hidayah dari Allah Yang Maha Esa...Amin!!!



Solat sunat Istisqa’ yang diadakan memohon hujan pagi ini bukan sahaja menakjubkan 2,000 jemaah yang hadir bahkan rakyat negeri ini apabila kerahmatannya langsung terbukti sebaik sahaja solat dimulakan.

Hujan pun mula turun ketika bacaan surah al-Fatihah. Solat yang dimulakan pada pukul 8.30 pagi ini itu diimamkan oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ia diadakan di Padang Perdana bersebelahan jalan berhadapan dengan Stadium Sultan Mohamad IV, dekat sini.

Hadir sama seluruh kepimpinan kerajaan negeri termasuk exco, Adun dan Ahli Parlimen dari parti Pakatan Rakyat.

Nik Aziz yang ditemui selepas solat sunat tersebut melahirkan rasa syukur tidak terhingganya kerana menganggap doa rakyat Kelantan minta diturunkan hujan itu segera dimakbulkan Allah SWT.

“Syukur, kita sembahyang Istisqa’ hari ini mendapat sambutan baik dan di tengah-tengah sembahyang itu turun hujan.

“Saya sendiri telah didedah oleh Allah dengan air hujan yang pertama semasa sembahyang hari ini sangat-sangat besarlah harapan, mudah-mudahan Allah beri pada kita bahagia di dunia dan akhirat.

“Tiada erti kita bahagia di dunia tetapi akhirat kelak kita masuk neraka. Dengan sebab itu saya berusaha supaya rakyat Kelantan faham bahawa kesusahan yang berlaku atas dunia ini adalah berpunca daripada dosa.

“Ayat-ayat Quran banyak menyebut bala yang menimpa manusia ini adalah berpunca daripada dosa.

“Oleh yang demikian kita kena pakat-pakat (sama-sama) tegur, nasihat, tak kiralah dalam apa jua pun keadaan termasuk politik, ekonomi kerana ini cara Islam, bukan cara demokrasi, bukan cara komunis dan juga sosialis, tapi cara Islam” katanya.

Menjawab soalan sama ada solat hajat dan solat istisqa yang diadakan pagi ini sebagai tradisi negeri Kelantan, beliau berkata “wallahualam. Yang pastinya nabi Muhammad SAW sendiri sembahyang istisqa’ setiap kali berlakunya kemarau”.

3.08.2010

Bahana Video Lucah Dua Beradik Jadi Perogol

Budak lapan tahun diperkosa 2 sepupu yang berusia 11 & 12 tahun...

Keruntuhan moral anak-anak bangsa kita semakin bobrok tahap gaban. Tak taulah mana silapnya. Budak lagi dah jadi perogol.

Teringat pesan guru agama Wak dulu-dulu "kalau kita nak melihat generasi akan datang, kita kena lihat generasi yang ada pada masa kini..."

Bermakna.. apa akan jadi dengan generasi kita akan datang jika masih peringkat kanak-kanak lagi mereka sudah tidak bermoral. Siapa yang ingin dipersalahkan....

KUALA TERENGGANU: Mereka baru berusia 11 dan 12 tahun, namun pendedahan seks melampau menyebabkan dua beradik itu layak digelar perogol junior apabila tergamak menjadikan sepupu berusia lapan tahun sebagai tempat memuaskan nafsu mereka.
Dorongan kuat melakukan seks memaksa pasangan adik-beradik yang masih bersekolah di tahun lima dan enam itu bertindak berani apabila melakukan hubungan terlarang di atas katil dalam sebuah bilik di rumah nenek mereka di Manir, di sini.

Difahamkan, sebelum melakukan hubungan seks, pasangan perogol junior itu bijak memasang jerat bagi menaikkan nafsu mangsa apabila mengajaknya menonton video lucah sebelum melakonkan semula adegan panas dalam bilik berkenaan. Ketika kejadian, ibu dan bapa mangsa serta neneknya tiada di rumah ketika kejadian pada jam 2.30 petang Selasa lalu.

Sebaik selesai menonton video lucah itu, kedua-dua suspek tidak sabar menggayakan aksi panas dalam video berkenaan dan memulakan adegan apabila melakukan seks oral terhadap mangsa.

“Mangsa yang mematuhi arahan dua suspek terbabit bagaikan ‘dipukau’ apabila mengikut kehendak suspek.

“Mangsa disuruh menanggalkan pakaian sebelum pasangan adik-beradik terbabit merogolnya bergilir-gilir,” katanya.

Sumber polis berkata, penderitaan mangsa selepas menjadi habuan seks sepupu sendiri sejak 2008 lalu bagaimanapun berakhir apabila kedua-dua suspek ditahan selepas perlakuan mereka terbongkar.

Katanya, suspek ditahan di rumah neneknya pada jam 7.30 pagi Jumaat lalu selepas bapa mangsa yang tinggal di kuarters kakitangan kerajaan di bandar ini membuat laporan di Balai Polis Manir pada jam 9.15 malam, dua hari selepas mangsa dirogol.

Beliau berkata, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini untuk pemeriksaan lanjut.

“Kedua-dua suspek ditahan reman dua hari di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol sebelum mendapat perintah tambahan reman selama satu hari bermula semalam,” katanya.

Kes Liwat II : Fatwa Oleh Prof Dr Yusuf al-Qaradawi

CD diedarkan percuma....

Satu cakera padat (CD) yang berupa rakaman sidang video ulama tersohor Prof Dr Yusuf al-Qaradawi berhubung fatwa terhadap pertuduhan liwat yang dihadapi oleh Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim telah diedarkan kepada orang ramai malam tadi.

Dalam rakaman sidang video itu antara lain mengandungi mengenai fatwa ulama dunia Islam itu terhadap pertuduhan liwat yang dihadapi oleh Anwar yang juga ketua pembangkang.

Sidang video itu telah dirakamkan pada 14 Februari selama 33 minit itu di kediaman Dr Yusuf di Doha, Qatar termasuk terjemahan percakapan beliau yang dilakukan oleh ahli jawatankuasa PAS Pusat, Abdul Ghani Shamsuddin.

Cakera padat yang bertajuk "Fatwa Mutakhir Dr Yusuf al-Qaradawi berhubung konspirasi II terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim" telah diterbitkan oleh Women's Institute of Research Development dan Advancement (WIRDA) diedarkan secara percuma.

Dalam sidang video itu tokoh Islam itu membawa hujah al-Quran dan Hadis serta alasan-alasan beliau mengeluarkan fatwa tersebut.

Dr Yusuf telah mengeluarkan fatwa bahawa sesiapa yang merancang dalam fitnah tersebut, sama ada secara langsung atau tidak langsung maka hukumnya adalah "munafik"

Fatwa Dr Yusuf juga menyebut, bahawa sesiapa yang membantu menyebarkan berita fitnah tersebut maka jatuh hukumnya sebagai fasik.

3.06.2010

Syabas... Akhirnya Dipecat Daripada PKR

PKR pecat Zulklifi Noordin....

Bak kato orang nogori.... "Ado tak menambah... tak do tak mengurang!!!"

Ahli parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin dipecat daripada PKR hari ini.

Perkara tersebut diumumkan Setiausaha Agungnya Saifuddi Nasution Ismail pada sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya petang ini.

Timbalan Presiden PKR Syed Husin Ali, Naib Presiden Mustaffa Kamil Ayub, Ketua Penerangan Latheefa Koya dan Pengarah Strategik Tian Cua turut hadir. Bagaimanapun, ketua umummnya Datuk Seri Anwar Ibrahim dan presiden parti Datuk Seri Wan Azizah Ismail tidak turut serta dalam sidang media tersebut.

Sehubungan itu, Zulklifi juga diminta mengosongkan kerusi parlimen Kulim-Bandar Bharu yang dimenanginya pada pilihan raya umum 2008.

Bagaimanpun Zulklifi dibenarkan membuat rayuan dalam tempoh 14 hari berhubung pemecatan itu.

Dua hari lalu, Zulkifli dihadapkan ke lembaga jawatankuasa dispilin PKR tetapi bertindak keluar selang sejam kemudian.

3.03.2010

Dah Muak 'Sandiwara' Keluar Parti...

Anggota Parlimen Bagan Serai Keluar PKR...

Satu persatu orang PKR keluar parti ... Dari orang biasa yang tak de jawatan sampailah ke anggota parlimen. Bila sorang je keluar... maka hiruk pikuk satu negara . Semua media massa dan elektronik melaporkannya. Menjadikan berita sensasi.

Tapi apa nak heran.... latar belakang dia orang semua nie dulunya orang yang menyokong UMNO @ BN. So 'bagai sireh pulang ke ganggang'. Tiada istiqomah dalam perjuangan. Manusia spesis ini hanya memikirkan kepentingan diri sahaja.

Kita sama-samalah tunggu ... Dikhabarkan akan lebih ramai lagi ahli PKR yang akan keluar parti...

KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) kehilangan seorang lagi wakil rakyat mereka hari ini apabila Anggota Parlimen Bagan Serai Mohsin Fadzli Samsuri mengumumkan keluar parti.

Mohsin memberitahu sidang media di sini bahawa beliau hilang keyakinan terhadap perjuangan dan matlamat politik PKR dan gagasan Pakatan Rakyat khususnya dalam mengembalikan politik dan kedaulatan Islam.

Berikut tindakan itu, beliau mengikut jejak langkah Anggota Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim, Anggota Parlimen Nibong Tebal Tan Tee Beng dan bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Mohammad Fairus Khairuddin yang meninggalkan parti itu.

Mohsin berkata beliau akan menjadi anggota parlimen bebas. - BERNAMA

Ustazah Terlanjur... Menduakan Suami

Berkhalwat ketika suami di Makkah...


Kebelakangan ini banyak kes berkhalwat melibatkan mereka yang telah berkahwin sama ada di pihak perempuan atau lelaki. Semalam Harian Metro melaporkan seorang tentera dengan isteri tentera (Kedua-dua umur dah cecah 50-an) ditangkap khalwat. Hari ni pulak seorang ustazah ditangkap khalwat dengan seorang duda.

Nampaknya dah akhir-akhir zaman nie macam-macam perkara pelik yang dah jadi tak pelik. Kebobrokkan rumahtangga semakin menjadi-jadi... Sama-samalah kita berdoa agar kita semua dijauhkan dari ujian dari Allah yang mungkin tak tertanggung oleh kita dek kerana kemungkaran yang dilakukan oleh manusia disekeliling kita...


KUALA LUMPUR: Dia seorang ustazah bertudung labuh yang berkelulusan dalam bidang agama dari sebuah universiti di Timur Tengah, sebelum ini mengajar di sebuah masjid dan sebuah sekolah rendah di Kota Tinggi, Johor, serta bersuamikan seorang ustaz yang disegani di daerah itu.

Bagaimanapun, di sebalik perwatakan lembut dan alim, ustazah berusia 35 tahun itu sanggup menconteng arang di muka keluarga dan suaminya, apabila ditangkap khalwat bersama seorang duda sebayanya, yang juga bekas rakan sekolahnya dan suami.

Ustazah yang memiliki latar belakang yang kuat berpegang kepada ajaran agama itu memberi alasan kononnya dia tertekan akibat suaminya berpoligami sehingga sanggup menjalinkan hubungan cinta dengan duda terbabit dan lebih mengejutkan, mereka dipercayai pernah beberapa kali terlanjur.

Tembelang ustazah terbabit pecah apabila dia ditangkap khalwat ketika berdua-duaan dengan duda itu, baru-baru ini dan mereka dilaporkan mengambil masa hampir setengah jam sebelum membuka pintu rumah kedai yang didiami dengan kedua-duanya dalam keadaan berpakaian lengkap.

Menurut sumber, lebih menyedihkan, ketika kejadian, suami ustazah terbabit berada di Makkah untuk menunaikan umrah.

Katanya, sejurus ditangkap berkhalwat, ustazah terbabit menghubungi suaminya untuk memaklumkan kejadian dan terus meminta cerai.

Menurutnya, ustazah terbabit dan suaminya berkahwin pada 1997, tetapi tidak dikurniakan cahaya mata menyebabkan mereka mengambil dua anak angkat termasuk seorang daripadanya dipelihara sejak kecil.

“Wanita itu bertemu dengan duda yang juga bekas rakan sekolahnya ketika perlawanan boling pada awal tahun lalu dan sejak itu hubungan mereka semakin rapat apabila lelaki itu menjadi tempatnya mencurah perasaan dan menagih simpati.

“Ustazah itu memberitahu duda terbabit kononnya dia tertekan kerana suami berkahwin lain sedangkan sebelum ini, dia sendiri bersetuju serta membenarkan suaminya berpoligami dan mereka sama-sama ke mahkamah untuk menguruskan perkahwinan itu.

“Tetapi, sebagai seorang yang ada latar belakang agama, hubungan dengan lelaki lain bukan cara untuk mengatasi tekanan lebih-lebih lagi dia masih berstatus isteri orang dan perhubungan itu mendekatkan mereka dengan maksiat,” katanya.

Sumber itu berkata, selepas ditangkap, duda itu pula mengaku dia pernah terlanjur dengan wanita berkenaan, tetapi di pihak ustazah terbabit, dia masih mahu ‘menegakkan benang basah’ dan menyebarkan berita kononnya dia dianiaya.

Menurutnya, demi menjaga nama baik keluarga dan maruah isteri, suami ustazah terbabit membuat pengakuan kononnya membenarkan duda terbabit menjemput isterinya yang baru pulang daripada rombongan sekolah, sebelum mereka ditangkap khalwat.

Katanya, ketika ditangkap, pasangan terbabit memberi alasan duda terbabit datang untuk menghantarnya pulang ke rumah dan membantu mengangkat beg.

Sementara itu, Harian Metro difahamkan, ustazah terbabit dan pasangannya akan dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Kota Tinggi, pada 22 Mac ini, atas tuduhan berkhalwat.

3.01.2010

Permohonan Mengikuti Program Diploma Pendidikan Ambilan Julai 2010

KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI MALAYSIA (KPT), JABATAN PENGAJIAN TINGGI



PERMOHONAN MENGIKUTI PROGRAM DIPLOMA PENDIDIKAN AMBILAN JULAI 2010

Pemohon lepasan Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian yang berkelayakan dipelawa mengemukakan permohonan bagi mengikuti Program Diploma Pendidikan (DPLI) di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Ambilan Julai 2010.

CARA MEMOHON:

PERMOHONAN ONLINE dibuka mulai 1 MAC 2010 (ISNIN) jam 12.00 TENGAH HARI di Laman Web Kemasukan ke IPTA (Unit Pusat Universiti - UPU) : http://upu.mohe.gov.my

PEMBELIAN NOMBOR UNIK ID MELALUI BANK SIMPANAN NASIONAL (BSN)
Bayaran boleh dibuat di Kaunter BSN atau Mesin ATM BSN / Perbankan SMS BSN (bagi pemegang akaun GIRO sahaja) dengan harga RM20.60 (termasuk RM0.60 bayaran perkhidmatan bank)
NO. AKAUN UPU : 14100-29-83030691-5

Jika melalui mesin ATM BSN - Pilih URUSAN LAIN > NO. PIN > IPTA > DIPLOMA PENDIDIKAN dan masukkan No. Kad Pengenalan anda atau pemohon lain.
Nota: Sila simpan slip pembayaran untuk rujukan dan sebagai bukti sah pembelian.

TEMPOH PERMOHONAN & PEMBELIAN NO. UNIK ID (PIN) : 1 - 16 MAC 2010

TARIKH TUTUP PERMOHONAN : 16 MAC 2010

Sebarang pertanyaan, sila hubungi alamat dan talian seperti berikut:

PENGARAH
BAHAGIAN PENGURUSAN KEMASUKAN PELAJAR
JABATAN PENGAJIAN TINGGI
KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI MALAYSIA
ARAS 1, BLOK E9, PARCEL, PRESINT 1
PUSAT PENTADBIRAN KERAJAAN PERSEKUTUAN
62505 PUTRAJAYA

No. Tel: 03-88835801/5802/5858
No. Faks: 03-88894260
E-Mel: upu@mohe.gov.my


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails