8.14.2009

Korban H1N1 Meningkat 56 Orang

Lima korban terbaru H1N1..

Korban akibat H1N1 terus bertambah hari demi hari. Ia amat menggerunkan seluruh pelusuk rakyat terutama mereka yang menghadapi masalah kesihatan.

Dua bayi berusia dua bulan dan seorang remaja lelaki berumur 19 tahun menjadi sebahagian perangkaan terbaru korban wabak selesema A (H1N1), menjadikan jumlah kematian meningkat kepada 56 kes hari ini.

Dua orang dewasa seorang lelaki berumur 57 tahun dan seorang wanita berumur 49 tahun yang turut meninggal dunia akibat virus tersebut mengalami masalah kesihatan, seperti kencing manis dan kegemukan.

Sebanyak 40 peratus daripada 56 korban wabak selesema A (H1N1) meninggal dunia akibat "kelewatan mendapat rawatan awal" dan sebanyak 13 peratus pula angkara "kelewatan pengesanan oleh pengamal perubatan".

Statistik itu didedahkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican dalam kenyataan hariannya berhubung wabak tersebut hari ini.

Susulan itu, beliau menasihatkan orang ramai, terutama mereka yang bersimptom jangkitan influenza, agar mengambil tindakan berikut:

Pertama, mereka yang bersimptom selepas menerima rawatan hendaklah berehat di rumah jika tidak dimasukkan ke hospital untuk rawatan.

Pergerakan pesakit bersimptom ke tempat awam atau tempat kerja akan menambahkan kes penularan dalam komuniti.

Mereka yang bersimptom mudah menularkan jangkitan kepada individu yang sihat yang berada dekat dengan mereka sama ada melalui batuk, bersin atau sentuhan cecair batuk/bersin.

Kedua, di sekolah atau tempat kerja, individu yang bersimptom influenza dinasihati agar segera mendapatkan rawatan dan berehat di rumah sehingga sembuh.

Mereka dinasihati agar tidak bekerja atau datang ke sekolah bagi mengelakkan penularan jangkitan influenza A (H1N1).

Guru besar atau ketua tempat kerja hendaklah melakukan saringan harian bagi memastikan individu yang bersimptom tidak meneruskan bekerja atau menghadiri kelas.

Jika terdapat kes dari saringan tersebut, mereka hendaklan dirujuk ke hospital atau klinik.

Ketiga, semua ibu bapa atau penjaga memastikan anak mereka yang mempunyai gejala influenza supaya tidak hadir ke sekolah bagi mengurangkan penularan jangkitan ini agar tidak menggangu aktiviti pembelajaran di sekolah.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails