12.19.2012

Remaja 18 Tahun Dirogol Di dalam Semak

 Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Seorang remaja berumur 18 tahun dirogol ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya di sebuah pusat membeli-belah Wangsa Maju, di sini, malam kelmarin. 

Dalam kejadian jam 10.15 malam itu, mangsa seorang diri berjalan kaki menuju ke stesen transit aliran ringan (LRT) Sri Rampai sebelum seorang lelaki berumur lingkungan 20-an tidak dikenali menekup muka mangsa dari belakang sebelum menariknya ke dalam semak berhampiran.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, kejadian berlaku terlalu pantas apabila suspek bertindak mengangkat mangsa yang meronta-ronta, ke bahagian tengah semak tanpa disedari orang ramai yang berada tidak jauh dari lokasi. 

Menurutnya, suspek seterusnya bertindak merogol mangsa dan beredar sambil berpesan supaya mereka bertemu lagi keesokan harinya (semalam) hingga mengakibatkan trauma kepada remaja tersebut. “Mangsa ditemui anggota Polis Bantuan stesen LRT dan kemudiannya diserahkan kepada sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Polis Wangsa Maju. 

Hasil pemeriksaan pihak hospital mengesahkan mangsa dirogol, namun mangsa tidak mengalami kecederaan di bahagian lain. “Lelaki berkenaan sebelum itu didakwa sering kelihatan berkeliaran di sekitar kawasan tersebut,” katanya. 

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat tentang suspek yang didapati berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan diminta memaklumkan segera kepada polis. “Suspek dipercayai berbangsa Melayu, berbadan gempal dan berambut kerinting serta ketinggiannya lima kaki empat inci. “Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol,” katanya. 

Sementara itu, Sinar Harian difahamkan, polis tidak menolak kemungkinan suspek terlibat merupakan penduduk di kawasan berhampiran dan merupakan seorang lelaki yang dikategorikan sebagai gila seks. 

Lelaki berkenaan juga dikatakan suspek sama ditahan 18 September lalu kerana dilaporkan menunjukkan kemaluan ketika memberhentikan kereta bersebelahan wanita dalam perjalanan ke stesen LRT berkenaan.

PRU13 : Abby Abadi Berjanji Akan Bantu Calon PAS

KANGAR - Bekas pelakon popular drama bersiri Gerak Khas, Abby Abadi berjanji akan membantu calon Pas berkempen dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). 

“Saya sanggup turun bersama Muslimat Pas sebagai perayu undi di seluruh pelosok negara pada PRU13 nanti. “Kami cukup bersedia untuk sama-sama menggempur pihak lawan pada kempen pilihan raya nanti untuk merayu undi,” katanya ketika menyertai perhimpunan kebangkitan rakyat peringkat negeri di dataran Kompleks Pas Perlis di Jalan Kampung Pondok di sini, malam kelmarin. 

Kira-kira 4,000 ahli Pas dan PR menghadiri program itu. Abby atau nama sebenar Arbaiyah Abdul Manan berkata, beberapa rakan artis lain akan bersamanya tidak lama lagi untuk memberi sokongan kepada PR. 

Sungguhpun mengakui dirinya adalah dari keluarga penyokong Barisan Nasional (BN) bahkan ayah dan ibunya ialah orang Umno tetapi hatinya lebih terbuka untuk memilih Pas kerana ada hikmah di sebaliknya. “Saya ingin membina rumah di syurga,” katanya sambil menyifatkan dirinya begitu tenang setelah menyertai Pas. 

Abby menyifatkan penyertaannya dalam Pas sebagai jihad dalam kehidupannya setelah meninggalkan dunia lakonan. “Saya rasa begitu bahagia sebagai seorang Muslimah yang akan meneruskan perjuangan mencari kebenaran dan keadilan bersama parti pilihan,” katanya.- Sinar

Sistem Penguatkuasan Automatik (AES) Digantung.


Pejabat Peguam Negara hari ini mengarahkan supaya semua prosiding kes saman melalui Sistem Penguatkuasan Automatik (AES) digantung.

Dalam satu kenyataan petang ini, ia bagaimanapun menegaskan bahawa saman melalui AES yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) adalah sah.

"Bagaimanapun, ekoran kebimbangan yang dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu mengenai undang-undang dan aspek teknikal lain, maka Pejabat Peguam Negara telah memutuskan untuk mengkaji perkara itu dan mengarahkan semua prosiding ditangguhkan sehingga kebimbangan tersebut ditangani.

"Satu keputusan akan dibuat dalam tempoh beberapa hari akan datang mengenai isu berkenaan," tambahnya.

Mengenai empat kes saman yang telah dilepaskan tanpa dibebaskan,l semuanya akan dikaji semula dan akan didaftar semula jika pendakwaan perlu dibuat. 

Polis: Jangan dengar khabar angin, tiada rusuhan kaum


SUNGAI PETANI – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi amaran keras kepada mana-mana pihak yang bertindak menyebar khabar angin kononnya Kuala Muda dikenakan perintah berkurung akibat rusuhan kaum sepertimana yang disebar menerusi laman sosial dan khidmat pesanan ringkas (SMS). 

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Abdul Ghafar Rajab menafikan perkara tersebut dan menegaskan, polis akan menjalankan siasatan terhadap pihak yang menyebarkannya kerana tindakan itu satu kesalahan. 

“Sehingga kini, hasil siasatan dan risikan polis mendapati insiden awal pagi 16 Disember di Flat Paya Nahu, Sungai Petani itu tiada kaitan dengan (dakwaan) kebencian kaum Melayu ke atas kaum India dan begitu juga sebaliknya,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media di ibu pejabat Polis Kuala Muda malam tadi. “Kalau dilihat melalui siasatan, ia berpunca daripada kes nak lumba motor, masing-masing nak tunjuk hebat. 

Bila tak puas hati panggil kawan-kawan dan tercetuskan kejadian itu. “Saya juga telah berjumpa dengan ketua kaum Melayu dan India pada hari sama jam 3 petang dan merayu mereka memberi penerangan jelas kepada masyarakat supaya jangan bertindak balas, jangan menyebar berita palsu dan jangan menghasut melakukan pergaduhan lebih besar,” katanya. 

Menurutnya, kesemua ketua kaum memahami dan berjanji akan memaklumkan kepada anak buah agar tidak bertindak di luar batas undang-undang. Berhubung insiden itu, katanya, 13 suspek telah ditahan reman dan lima yang tercedera telah menerima rawatan di hospital di mana empat daripadanya sudah dibenarkan pulang. 

Bagaimanapun, katanya, beberapa insiden yang berlaku selepas itu tiada kaitan dengan insiden pertama dan berlaku secara kebetulan. “Kita merujuk kepada khabar angin ada pergaduhan di Taman Bandar Baru, Sungai Lalang, kes bakar masjid, rusuhan kaum, darurat dan semuanya dikatakan berpunca daripada kes pertama adalah fitnah semata-mata. 

“Polis akan terus memantau dan menghantar lebih ramai anggota selain mengadakan sekatan jalan raya bertujuan meredakan keadaan bukannya disebabkan ada rusuhan,” katanya. 

Berhubung seorang pegawai polis yang dibelasah katanya, pegawai berkenaan sedang bercuti kerana ingin berkahwin, berkunjung ke sebuah kedai. “Berdasarkan siasatan, berlaku salah faham antara pegawai tersebut dengan seorang lelaki India yang mencetuskan pergaduhan. “Tetapi, ia tiada kaitan dengan isu perkauman dan berlaku secara kebetulan bukannya disebabkan insiden pertama,” katanya. 

Beliau bagaimanapun meminta penduduk Kuala Muda khususnya Sungai Petani bertenang dan jangan mempercayai berita palsu yang tersebar melalui Facebook, Twitter atau SMS kerana bimbang ada pihak akan terpengaruh yang mendorong kepada perkara tidak sihat. 

Menurutnya, polis sendiri menerima banyak panggilan telefon berikutan tersebarnya khabar angin mengatakan berlaku rusuhan antara kaum Melayu dan India di daerah Kuala Muda. 

Sehingga kini (sehingga sidang media dilakukan), Kuala Muda masih dalam keadaan aman dan tenteram dan tiada sebarang kematian dilaporkan berhubung isu berkenaan.

12.18.2012

Kes Rogol Pelajar 13 tahun... Teman Lelaki Diburu!

  Muhd Hazri Abdul ghafor

GEORGETOWN - Polis sedang mengesan seorang lelaki yang dipercayai boleh membantu siasatan kes rogol yang berlaku pada tahun 2009. 

Difahamkan, suspek dan mangsa adalah pasangan kekasih dan remaja perempuan itu mengaku melakukan hubungan seks dengan teman lelakinya beberapa kali. Mangsa yang kini berusia 16 tahun kini dilaporkan sudah melahirkan anak dengan suspek yang semasa kejadian berumur 24 tahun. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, Mohd Hazri Abdul Ghafor, 27, beralamat No 1256-E, Jalan Paya Terubong, Ayer Itam, dipercayai boleh membantu polis dalam kes rogol seorang pelajar berusia 13 tahun (ketika laporan dibuat) kira-kira tiga tahun lalu.

“Laporan dibuat bapa mangsa pada masa itu (2009) mengatakan anaknya didapati mengandung dua bulan kerana disyaki dirogol teman lelakinya iaitu suspek. Usaha mengesannya tidak pernah dihentikan sebaik laporan diterima pada 27 Jun 2009.
 
“Setelah menerima laporan bapa mangsa, polis membuat serbuan dua kali ke rumah suspek iaitu 28 Jun 2009 dan 15 Disember 2012. Selain itu, suspek disenaraikan orang yang dikehendaki serta gambarnya turut disiarkan melalui media pada 10 Oktober 2009,” katanya kepada media semalam. 

Menurutnya, anggota polis juga diarahkan membuat risikan dan pemantauan sepanjang tahun di kawasan rumahnya namun suspek didapati langsung tidak pulang ke rumah. “Suspek didapati tidak pulang ke rumah selepas insiden itu. 

Kita sudah arahkan beberapa anggota untuk membuat risikan dan pemantauan di kawasan rumah suspek namun gagal ditahan kerana tidak pulang ke rumah. “Kita mohon orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek dapat menghubungi polis atau balai polis terdekat. 

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih daripada 30 tahun dan sebatan jika disabit kesalahan.,” katanya. 

Terdahulu, seorang peniaga membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat kes rogol membabitkan anaknya tidak diselesaikan polis setelah kes berlarutan sejak tiga tahun lalu. 

Bapa berusia 40 an itu kesal kerana polis memandang ringan kes anaknya yang juga budak di bawah umur. - Sinar

Anwar: Perak kubu penting Pakatan


SERI ISKANDAR - Dalam usaha menawan Putrajaya, Pakatan Rakyat (PR) harus menang dengan majoriti meyakinkan di Perak pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) kerana Perak boleh menjadi kubu penting perikatan itu bagi mencapai matlamat memerintah negara.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, matlamat dalam PR sudah cukup mantap akan akan berkekalan sehingga mereka berjaya menawan Putrajaya kelak.

Beliau turut melaungkan janji untuk mengkaji semula perjanjian dengan syarikat yang membekalkan elektrik supaya dapat diturunkan tarif elektrik. "Kita tak peduli syarikat berkenaan dari mana atau bangsa apa. Kita mahu mereka berhenti menekan rakyat melalui tarif elektrik tinggi," katanya ketika berucap pada Himpunan Kebangkitan Rakyat peringkat Negeri Perak di Padang Sidec, Bandar Seri Iskandar, kelmarin.

Hadir sama, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Timbalannya, Mohamad Sabu; Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Seri Ir Mohamad Nizar Jamaludin dan anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, Dr Tan Seng Giaw.

Anwar yang juga Ketua Umm PR dan PKR berkata, kehadiran yang ramai ke majlis berkenaan merupakan tanda rakyat sudah muak dengan dakyah Umno dan mahu bangkit menumbangkan parti itu untuk merasai kebebasan.

Beliau turut menyatakan PR akan menyediakan pendidikan percuma kepada rakyat bermula sekolah rendah hingga universiti sekiranya mendapat mandat memerintah negara. "Anak-anak muda adalah tenaga penting untuk negara dan mereka perlu diberi penduduk lebih baik secara percuma bermula dari sekolah rendah hingga universiti.

Kita juga akan hapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Insya-ALLAH, negara tidak akan bankrap," katanya. Menyentuh Himpunan 1 juta Rakyat pada 12 Januari 2013, beliau menegaskan perhimpunan bertujuan membersihkan PRU 13 dan rakyat perlu turun demi menyampaikan mesej kepada Kerajaan Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, Abdul Hadi dalam ucapannya berkata, Umno lebih menekankan perkataan Melayu berbanding Islam dalam pemerintahan mereka serta tidak mempunyai ilmu dan akhlak mulia untuk memerintah negara.

"Memang tidak dinafikan bahawa kita harus sayang kepada bangsa kita. Tetapi ia tidak boleh dijadikan akidah. Begitu juga dengan ilmu. Jika kita ada ilmu tetapi penakut, bagaimana mahu memerintah negara?" katanya. Kira-kira 30,000 hadirin membanjiri himpunan.- Sinar

12.15.2012

20 Orang Murid Mati Ditembak

 26 termasuk 20 murid mati ditembak di sekolah....


NEWTOWN, Connecticut - Seramai 26 orang termasuk 20 kanak-kanak terbunuh dalam kejadian seorang lelaki melepaskan tembakan di sebuah sekolah rendah di sini, semalam - insiden paling buruk membabitkan kawasan sekolah dalam sejarah Amerika Syarikat (AS).

Suspek, seorang lelaki yang dikenali sebagai Adam Lanza, 20, ditemui mati di kawasan Sandy Hook Elementary School, dipercayai membunuh diri selepas menembak mangsa.

Adam juga dipercayai menembak ibunya sebelum menyasarkan sekolah tersebut. Dia dilaporkan menembak mangsa menggunakan dua pistol 9mm. Laporan CNN menyebut seorang cedera dalam kejadian itu. Antara maut termasuklah pengetua sekolah dan pakar psikologi.

Menurut polis, seorang dewasa turut ditemui mati di sebuah lokasi berbeza di Newtown. Polis juga berkata, mangsa di lokasi kedua dikenali sebagai Nancy Lanza, ibu kepada suspek yang melepaskan tembakan di kawasan sekolah.

Dia ditemui mati di rumah anak lelakinya. Nancy juga merupakan guru di Sandy Hook. Jurucakap polis Connecticut, Lt Paul Vance menyifatkan insiden ini sebagai sesuatu yang "tragis, sangat tragis." "Sukar untuk digambarkan," kata Vance kepada CNN. Abang suspek, Ryan berkata, Adam mempunyai rekod masalah mental. - Sinar

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails