Ingat firman Allah s.w.t dalam surah Al-Buruj, ayat 10: “Sesungguhnya orang-orang yang memfitnah (membuat keburukan) kepada lelaki beriman dan perempuan beriman, kemudian (daripada kedurjanaan itu) mereka tidak bertaubat, maka bagi mereka azab neraka, dan bagi mereka azab yang membakar.”
KUALA LUMPUR: Persatuan Ulama Malaysia (PUM) mengecam penyebaran video fitnah seks yang kononnya dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menyifatkan ia bertentangan dengan norma masyarakat Melayu dan Islam.
Setiausaha Agung PUM Dr Mohd Roslan Md Nor berkata, penyebaran video itu merupakan perbuatan berniat jahat dan melampaui batasan akhlak, moral dan budaya.
“Atas nama apa alasan sekalipun penyebaran ini adalah satu tindakan jahat, fitnah dan melampaui batasan akhlak, moral dan budaya malah menyalahi etika kewartawanan yang serius. Trend membuka aib dan menyebar fitnah bukan norma budaya Melayu Islam, malah menyalahi undang-undang dan etika mana sekalipun di dunia ini,” katanya.
PUM turut memohon agar campur tangan Majlis Raja-Raja jika pihak berkuasa dan kerajaan gagal menghentikan penyebaran rakaman video seks itu.
Beliau berkata, individu yang terlibat dalam pembikinan dan penyebaran rakaman video seks itu adalah haram di sisi agama Islam.
“Mereka bukan sahaja merosakkan diri, keluarga dan masyarakat, malah turut mempromosikan kejahatan yang bakal mengundang laknat dan bala daripada Allah,” katanya.
Sementara itu, Rangkaian Memacu Arus Perjuangan (MAP) memandang serius penyebaran video seks fitnah berkenaan di YouTube dan internet kerana ia mencemar nilai budaya politik di Malaysia.
Pengerusi persatuan itu, Mustaffa Kamil Ayub menyifatkan perbuatan itu keterlaluan.
“Sama ada video tersebut tulen atau tidak bukanlah menjadi persoalan, tetapi yang lebih penting adalah mengawal penyebarannya agar tidak menimbulkan keresahan di kalangan rakyat.
“Kenyataan Ketua Polis Negara mengenai ketulenan video tersebut menimbulkan kekeliruan persepsi terhadap sebahagian rakyat,” kata Mustaffa yang juga bekas Naib Presiden KEADILAN dalam satu kenyataan.
Menurut Mustaffa, tindakan menayang dan membiarkan penyebarannya juga bermakna seseorang itu dihukum sebagai salah dan mendahului kuasa mahkamah.
“MAP menyeru semua pihak bergerak ke arah politik nilai yang menekan kepada penjagaan akhlak sesama insan, proses undang-undang yang telus, mengutamakan kepentingan rakyat serta menjaga kemurnian budaya murni Malaysia,” katanya yang juga bekas Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan bekas pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia.
No comments:
Post a Comment