11.20.2010

CUTI SEKOLAH DATANG LAGI

Kejam celik... kejam celik! Cuti sekolah datang lagi!!!

Tentu seronok bila dapat melakukan aktiviti bersama-sama anak-anak, bukan? Anak-anak akan rasa lebih selamat, lebih disayangi dan lebih dihargai jika ibubapa ingin meluangkan masa untuk mereka. Anak-anak juga akan rasa teruja apabila insan yang paling mereka sayangi sudi berkongsi aktiviti bersama-sama dengan mereka.

Mari kita kukuhkan hubungan kekeluargaan dengan aktiviti di musim cuti sekolah. Jom lihat! Apakah 5 aktiviti cuti sekolah yang menarik & berfaedah untuk anak-anak soleh kita

1.Berjalan atau jogging di taman-taman bunga, di tepi tasik atau di persisiran pantai.Sewaktu berjalan, ambillah peluang untuk berbual mengenai kebesaran Allah swt yang dapat dilihat di sekitar kawasan itu. Untuk anak yang sudah dewasa, galakkan mereka menyatakan apakah kebesaran Allah swt yang mereka nampak sepanjang berada di situ.

Sebagai contoh; Lihatlah kebesaran Allah pada bunga, ada bunga-bunga yang tumbuh daripada satu pokok, tetapi Allah ciptakan berlainan warna. Mana datangnya warna itu, sedangkan kita tak nampak pun cat atau dakwat di situ.

Objektif: Meningkatkan iman kita dan anak-anak

2.Mengajar anak kemahiran-kemahiran sunnah seperti memanah, menunggang kuda dan berenang. Seandainya kita sendiri belum menguasai kemahiran tersebut, tidak mengapa. Rendahkan sedikit ego, korbankan sedikit masa untuk belajar bersama-sama dengan anak-anak. Yang penting, kita dan anak-anak berasa gembira dan enjoy dengan aktiviti tersebut. Jangan lupa beritahu anak, yang dia sedang melaksanakan satu sunnah Rasulullah.

Barangsiapa yang berpegang teguh pada sunnah ku di zaman kerosakan ini, maka dia akan mendapat pahala 100 orang mati syahid (al-hadis)

Objektif: Menanamkan perasaan cinta untuk mengamalkan sunnah Nabi Muhammad saw

3.Memberikan galakan untuk anak-anak menghafal surah-surah pilihan.Fitrahnya, anak-anak akan merasa seronok apabila melihat ibubapa melakukan aktiviti yang sama seperti mereka. Seandainya, ibubapa juga turut berusaha bersama-sama untuk menghafal surah-surah tersebut, maka anak juga akan ter-motivasi untuk melakukan perkara yang sama.

Antara fadhilat surah-surah pilihan ialah:

Yaasin: Sekiranya dibaca di awal hari, maka Allah swt akan tunaikan segala keperluannya pada hari itu.

Al-Mulk: Surah ini akan menjadi penjaga kepada pembacanya daripada azab kubur.

Al-Waqiah: Barangsiapa yang membaca surah ini pada setiap malam, maka dia tidak akan kebuluran@miskin untuk selama-lamanya.

Objektif: Al Quran menjadi zikir di lidahnya, dan ingatan terhadap Allah swt sentiasa berada dalam hatinya.

4.Membuat kerja-kerja rumah bersama-sama dalam suasana yang menyeronokkan.Banyak kerja rumah yang boleh dilakukan bersama, antaranya seperti, memasak, mencuci kereta, mengemas rumah dan sebagainya.

Sewaktu melakukan aktiviti ini, elakkan berleter, membebel atau memarahi anak kerana kecuaiannya. Banyakkan pujian dan sokongan atas hasil kerja yang telah dilakukannya. Wujudkan suasana yang ceria dan penuh dengan telatah mencuit hati.

Setelah berseronok melakukan aktiviti bersama, anda boleh mengambil peluang untuk memberikan motivasi kepadanya. Daripada bertanya anak, bagaimana dengan keadaan sekolahnya, tanyalah pada mereka 3 perkara terbaik yang telah mereka lakukan di sekolah.

Anda tentu rasa gembira mendengarkan jawapan mereka, dan sekaligus keyakinan diri anak-anak juga akan meningkat setelah menyedari keistimewaan yang ada dalam diri mereka.

Objektif: Melatih anak-anak berkhidmat untuk ibubapa dan orang lain

5.Bermain permainan komputer sambil belajar. Kanak-kanak tidak dapat dipisahkan daripada permainan. Menurut kajian, kanak-kanak lebih banyak belajar sewaktu bermain. Oleh sebab itu, kita harus bijak memilih permainan yang sesuai untuk mereka, dan kalau boleh, luangkanlah sedikit masa untuk mencuba permainan mereka.

Ada banyak jenis permainan komputer atau permainan papan (board game) yang melatih anak-anak untuk mahir dalam sesuatu kemahiran. Antaranya:

Permainan Matematik:
http://www.coolmath4kids.com/

Permainan Mengenal Islam
http://www.islamicplayground.com/Scripts/default.asp

Permainan mewarna Islamik untuk anak-anak bawah 6 tahun:
http://www.gamespendidikan.com

Board game untuk belajar asas kewangan dan perniagaan
http://www.cashflowboardgame.com/

dan banyak lagi!  Anda boleh cari di Google permainan-permainan ini, atau anda boleh dapatinya di kedai komputer atau kedai buku yang berhampiran.

Objektif: Meningkatkan kasih sayang di antara anak dan ibubapa di samping mempelajari sesuatu. 

Lakukanlah aktiviti-aktiviti ini bersama-sama untuk menambahkan keseronokan dan kasih sayang anak-anak kepada ibubapa. Rasulullah saw sangat-sangat menggalakkan kita menunjukkan kasih sayang kepada anak-anak.

Tatkala seorang sahabat r.a membuat pengakuan yang dia tidak pernah menunjukkan kasih sayang kepada anak-anaknya, maka Rasulullah saw bersabda, Bagaimana mungkin Allah swt akan sayang kepada seseorang yang tidak menyayangi orang lain

Seandainya anak-anak merasa gembira, bahagia dan tenang tatkala bersama dengan ibubapa, maka lebih mudahlah kerja ibubapa. Terutamanya, untuk mengajak anak-anak melaksanakan perintah Allah swt dan mengamalkan sunnah Rasulullah saw dalam kehidupan mereka. InsyaAllah


Selamat Bercuti!

Sumber : http://anakkusoleh.com

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails