6.17.2009

Kes Tempatan Pertama H1N1 Dikesan

Sama-sama berdoa semoga dijauhkan dari wabak ini...

Jangkitan selesema A (H1N1) semakin serius di negara ini, susulan berlakunya penularan wabak tersebut di peringkat tempatan yang pertama pada pesakit ke-19 daripada 23 kes, sejak sebulan lalu.

Pesakit berkenaan, seorang pelajar perempuan 17 tahun, dijangkiti daripada pesakit ke-12 akibat kegagalan kuarantin apabila tidak memaklumkan pernah berhubung dengan pelajar perubatan kes terdahulu.

Akibatnya, menurut satu kenyataan Kementerian Kesihatan hari ini, kegagalan itu menyebabkan 20 orang lagi berkemungkinan terdedah kepada jangkitan H1N1.

Kementerian juga memaklumkan bahawa lima lagi kes influenza itu dikesan dalam tempoh 24 jam yang lalu.

"Salah satu dari kes yang disahkan positif Influenza A (H1N1) adalah kes penularan tempatan yang pertama berlaku di negara ini," kata Ketua Pengarah kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

"Kes pertama penularan tempatan (kes ke-19) adalah seorang pelajar perempuan berumur 17 tahun, warganegara Malaysia yang tidak mempunyai sejarah melawat negara (asing) yang telah diisytiharkan berlaku wabak Influenza A(H1N1).

Tambahnya lagi, sesuai dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Kejadian Influenza A(H1N1) bil. 5/2009, kementerian juga mengeluarkan arahan seperti berikut:

i. Orang awam tidak digalakkan untuk melawat hospital. Kanak-kanak berumur bawah 12 tahun dilarang pergi atau dibawa melawat ke hospital kecuali untuk mendapatkan rawatan.

Setiap pesakit hanya dibenarkan menerima dua orang pelawat berumur lebih 12 tahun pada satu-satu masa. Masa lawatan di hospital kerajaan dan swasta akan dipendekkan.

ii.Saringan demam akan dilakukan kepada semua pelawat yang datang melawat pesakit di semua hospital kerajaan dan swasta.

Kementerian Kesihatan juga memohon kerjasama kepada penumpang, anak kapal dan kontak kepada kes agar menghubungi melalui talian 03-88 81 02 00 atau 03-88 81 03 00 untuk mendapatkan nasihat kesihatan termasuk keperluan kuarantin di rumah.- Malaysiakini

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails