6.13.2009

Akhirnya Zaid Ibrahim Sertai PKR

Zaid Ibrahim sah sertai PKR

BANGI 13 Jun — Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim yang dipecat daripada Umno pada Disember tahun lepas, hari ini disahkan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Mengumumkan perkara itu pada sidang media sempena Kongres Nasional Khas PKR 2009 di sini hari ini, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keanggotaan Zaid ke dalam parti itu berkuat kuasa hari ini dan parti menerima kemasukan beliau sebagai satu penghormatan dan lonjakan terhadap perjuangan parti.

“Saya menganggap ini satu perkembangan yang amat positif dalam PKR. Tetapi saya perlu tekankan bahawa Zaid mempunyai pendedahan yang cukup baik bersama dengan kepimpinan PKR, DAP dan PAS, dan ini kita dapat manfaatkan supaya beliau dapat membantu memperkemas dan mengukuhkan lagi hubungan dalam pakatan,” katanya.

Anwar berkata sehubungan itu pada mesyuarat pimpinan pakatan pembangkang akan datang yang dijangka membincangkan bagaimana untuk memperkukuhkan jentera sekretariat Majlis Pakatan pembangkang itu, beliau akan mencadangkan supaya Zaid dilantik bagi membantu sekretariat tersebut.

Ditanya kedudukan Zaid dalam PKR, Anwar berkata disebabkan oleh kewibawaan dan pengalamannya, Zaid akan dilantik menganggotai Biro Politik parti serta ahli majlis kepimpinan pusat selepas parti mengadakan mesyuarat dan seterusnya mendapat persetujuan presiden.

Sementara itu Zaid yang turut hadir sidang media berkenaan berkata beliau menyertai PKR kerana percaya dan yakin dengan perjuangan parti itu. “Saya berterima kasih dengan pucuk pimpinan parti yang bersedia menerima saya sebagai ahli. Saya percaya jika diberi peluang saya akan berusaha untuk membantu Anwar dan pemimpin yang lain dan saya juga berminat untuk membantu mengukuhkan lagi hubungan dalam pakatan.

“Tetapi ini perlulah difikir dengan lebih lanjut oleh pemimpin PAS dan DAP, tetapi saya bersedia bantu supaya Pakatan Rakyat boleh menjadi parti alternatif yang rakyat boleh benar-benar menaruh harapan,” katanya.

Zaid berkata beliau sudah lama berhasrat untuk menyertai PKR dan selepas lama berehat dan hari ini adalah hari yang paling sesuai kerana ia juga hari yang dianggap bersejarah dalam PKR.

Ditanya mengapa beliau memilih untuk menyertai PKR dan bukannya PAS atau DAP, Zaid berkata PKR adalah parti yang sesuai dengan beliau dan beliau tertarik dengan konsep multi-racial yang diperjuangkan parti itu.— BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails