6.25.2009

H1N1: 3 kes tempatan, jumlah 91

H1N1 terus bertambah...

Tiga lagi kes penularan tempatan jangkitan selesema A (H1N1) disahkan hari ini daripada 11 kes baru menjadikan semuanya 91 kes, kata menteri kesihatan.

Datuk Seri Liow Tiong Lai mengumumkan demikian dalam satu sidang media selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kementeriannya di Putrajaya.

Semalam kerajaan bercadang mengambil langkah mengetatkan pemeriksaan di lapangan terbang antarabangsa setelah jumlah kes wabak ini meningkat mendadak 400 peratus dalam seminggu.

Kes jangkitan tempatan melibatkan seorang lagi warganegara Yaman dan dua rakyat Malaysia.

"Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes setakat ini ialah 91 kes iaitu 77 kes import dan 14 kes jangkitan tempatan," Liow dipetik berkata.

"Daripada jumlah itu 35 kes sudah sembuh dan selebihnya masih menerima rawatan."

Semalam dua warga Yaman, pelajar yang mengambil kursus bahasa Inggeris di Kuala Lumpur, dikelaskan sebagai kes penularan tempatan selepas dijangkiti seorang rakan mereka yang pulang dari Bangkok.

Setakat ini, jumlah sekolah yang ditutup masih kekal empat buah.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails