8.27.2009

Kecelaruan & Kelemahan Hukuman Syariah Dalam Isu Kartika

Sama-sama kita fikirkan rentetan peristiwa dalam isu Kartika…

Cerita hukum sebat telah disebar luas di seluruh dunia. Wak tak tahu apakah ini akan memberi imej baik atau tidak baik kepada agama Islam. Sebagai orang Islam kita tidak harus ambil berat pandangan orang lain terhadap Islam dalam melakukan suruhan agama. Dan antara kecelaruan dan kelemahan yang timbul dalam isu Kartika.

1. Tiada Panel Mahkamah Rayuan Syariah

Panel Mahkamah Rayuan Syariah Pahang masih belum dilantik, setakat ini, menyebabkan rayuan bagi kes-kes seperti melibatkan Kartika Sari Dewi Shukarno tidak dapat didengar, kata seorang peguam syariah terkemuka.

Zainul Rijal Abu Bakar menambah, terdapat dua pesalah di negeri berkenaan yang dijatuhi hukuman sebat mengikut undang-undang syariah sebelum ini, tetapi rayuan bagi hukuman tersebut tidak dapat didengar sejak lima tahun lalu.

"Bukan Kartika seorang saja, lima tahun lepas dan tahun lepas juga ada kes jatuh hukuman sebat. Rayuan juga tapi tidak boleh didengar," kata bekas pemimpin Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) ketika dihubungi Malaysiakini hari ini..

2. Tiada Pakar Untuk Melaksanakan Hukuman Sebat

Hukuman sebat terhadap model sambilan Kartika Sari Dewi Shukarno kerana kesalahan minum arak akan ditangguhkan sehingga Kementerian Dalam Negeri (KDN) mempunyai kepakaran untuk melaksanakan hukuman itu mengikut undang-undang syariah.

Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata Jabatan Penjara tidak mempunyai tukang sebat yang berkemahiran untuk melaksanakan hukuman mengikut cara dan kaedah syariah.

3. Perlanggaran Prosedur

Pendakwaan dan bentuk hukuman yang dikenakan ke atas Kartika "sudah jelas" tetapi ia kini dikaburi oleh pihak-pihak berkepentingan yang cuba campur tangan, termasuk kuasa eksekutif.

"Dan kalau benar Peguam Negara telah menghantar surat supaya (hukuman) ditangguhkan, (tindakan) itu sudah melanggar urusan negeri sebab bidang kuasa dia di peringkat persekutuan," kata Zainul Rijal, kini setiausaha pertubuhan Peguam Pembela Islam (PPI).

"(Keadaan) ini sudah melanggar prosedur. Sepatutnya kena failkan semakan dahulu, baru mohon ditangguhkan. Inilah yang jadi apabila menteri turut masuk campur."

4. Tindakan Yang Berubah Sekelip Mata

Patutkah Jabatan Agama Negeri Pahang yang telah memasukkan Kartika ke dalam van untuk dibawa ke penjara Kajang, menukar fikiran dengan tiba-tiba dan memulangkannya semula ke rumahnya?

Kemudian, ahli majlis mesyuarat kerajaan Pahang Datuk Mohd Sahfri Abdul Aziz mengeluarkan kenyataan bahawa Kartika akan disebat selepas bulan Ramadan pula.

Apakah layak Kartika dilayan seperti haiwan sarkas yang dimasukkan ke dalam sangkar, dilepaskan dan ditangkap semula sesuka hati?

Moralnya....

Dalam Al-Quran terdapat 43 ayat yang menegaskan: "Apabila kamu hukum, hukumlah dengan adil".

Keadilan dan timbang rasa jelas menjadi ajaran yang utama dalam Islam. Mereka yang tidak adil dan tidak bertimbang rasa tidak mengikuti semangat keislaman.

Mereka yang ahli dalam ilmu fiqah memanglah berhak menulis kitab berkenaan undang-undang Islam. Tetapi sebagai manusia biasa kemungkinan membuat tafsiran yang salah memang ada.

Islam mendesak supaya kita rujuk kepada Al-Quran apabila kekeliruan berlaku atau menemui jalan buntu. Sudahkah kita rujuk kepada Al-Quran berkenaan dengan minum bir (arak) dan hukuman yang perlu dikenakan supaya keadilan tercapai?

Tak perlu kita ambil berat pandangan orang tetapi umat manusia perlu tahu bahawa agama Islam menjunjung tinggi keadilan.

Kita berharap pihak-pihak yang pakar dalam perkara ini dapat menunjuk ayat-ayat Al-Quran dan kitab-kitab yang dirujuk oleh hakim apabila hukuman ini dijatuhkan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails