5.09.2009

ISA: 13 lagi dibebas

Oleh THOMAS CHONG
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 8 Mei – Selepas 36 hari Datuk Seri Najib Tun Razak dilantik Perdana Menteri dan ketika kajian terhadap Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sedang giat dijalankan, 13 lagi tahanan akta itu akan dibebaskan.

Ia termasuk tiga baki pemimpin pertubuhan haram Hindraf. Alasan kerajaan hanya satu - kesemua tahanan itu didapati tidak lagi memberi ancaman kepada keselamatan negara.

Pembebasan mereka adalah yang kedua dibuat oleh kerajaan pimpinan Najib selepas pada 3 April lepas, sebaik saja mengambil alih jawatan Perdana Menteri, beliau mengumumkan pembebasan 13 tahanan termasuk dua pemimpin Hindraf.

Langkah pembebasan terbaru itu diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada sidang akhbar di sini hari ini.

Tiga baki pemimpin Hindraf yang dibebaskan ialah K. Vasantha Kumar, 36, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah, M. Manoharan, 48, penasihat undang-undang pertubuhan itu, P. Uthayakumar, 47.

Turut dibebaskan tiga warganegara Malaysia iaitu suspek pemimpin gerakan militan Jemaah Islamiah (JI), Zulkepli Marzuki serta dua orang yang disyaki penyokong Darul Islam (DI), Jeknal Adil dan Adzmi Pindatun.

Dua rakyat Indonesia iaitu Zainun Rasyid yang dipercayai penyokong JI dan Aboud Ghafar Shahril yang disyaki ahli DI juga dibebaskan.

Dalam pada itu, rakyat Filipina yang dibebaskan ialah Sufian Salih (JI), Hasim Talib (JI), Abdul Jamal Azahari (DI), Yusof Mohd. Salam (DI) dan Husin Alih (DI).

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails