5.13.2009

H1N1 Telah Mula Menyerang Asia Tenggara

Thailand catat kes pertama dalam ASEAN...

Thailand disahkan menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang mengalami kes jangkitan selesema babi atau virus influenza A (H1N1).

Menteri Kesihatan Thai, Witthaya Keawparadai hari ini mengumumkan, negara ini telah mengesahkan kes pertama selesema babi, melibatkan dua orang yang pulang dari Mexico baru-baru ini, namun kedua-duanya semakin pulih.

Witthaya enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai kedua-dua pesakit atas alasan untuk menjaga kerahsiaan antara doktor dengan pesakit.

"Kami telah mengesahkan dua kes virus influenza A (H1N1). Tidak ada wabak di Thailand," kata beliau pada satu sidang media petang ini. - AP

Kes-kes di Thailand itu menandakan kemunculan selesema babi di Asia Tenggara. Negara lain di Asia termasuk China, Jepun dan Korea Selatan telah melaporkan kes.

Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva sebelum itu mengumumkan ujian makmal di Amerika Syarikat (AS) mengesahkan kes pertama jangkitan virus selesema babi di negara ini.

Abhisit menyatakan pesakit lelaki itu semakin pulih, tetapi beliau tidak memberi maklumat lanjut mengenai mangsa atau perjalanan yang dilakukannya baru-baru ini.

Pihak berkuasa Thai menghantar sampel daripada pesakit tersebut minggu lepas kepada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) di AS untuk ujian terakhir.

"Pihak AS telah mengesahkan kes itu. Saya difahamkan pesakit selamat dan beransur-ansur pulih," kata Abhisit. - AP

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails