4.09.2010

Pelajar Sekarang Kurang Ajar

Guru disiplin terima 7 jahitan, cedera hidung sebab tegur pelajar bising



KULIM - Geram dengan teguran guru disiplin, sekumpulan 30 pelajar sebuah sekolah menengah di sini licik mengatur strategi 'serangan balas' menyebabkan guru terbabit cedera di hidung dan menerima tujuh jahitan di dahi terkena meja yang dibaling salah seorang kumpulan pelajar terbabit.

Kejadian jam 1.00 tengah hari kelmarin berlaku selepas guru yang enggan namanya disiarkan mendakwa sedang mengelolakan mesyuarat Persatuan dan Kelab di dewan sekolah diganggu sekumpulan pelajar yang membuat bising.

Terganggu dengan tindakan itu, guru terbabit memberi teguran namun tidak diendahkan sebaliknya kumpulan pelajar terbabit mencabar guru terbabit mengambil tindakan.

“Dalam kejadian itu saya anggarkan 20 hingga 30 pelajar terlibat. Saya mengejar kumpulan pelajar tersebut bertujuan untuk tidak terus mengganggu mesyuarat yang sedang saya jalankan.

"Tanpa disedari tindakan pelajar terlibat merupakan satu rancangan yang telah dirancang. Apabila sampai di tangga, salah seorang pelajar telah bersedia menunggu di belakang dinding membaling meja ke arah saya. Saya tidak dapat mengelak dan mengenai dahi dan muka saya,” katanya, kepada Sinar Harian semalam.

Mangsa kemudiannya mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan Hospital Kulim, sebelum dibenarkan pulang pada hari sama.

“Saya mengesyaki seorang pelajar tingkatan tiga membaling meja ke arah saya dan kejadian yang berlaku kepada saya bukan kali pertama, saya difahamkan ada kes guru diludah pelajar dan menjadi mangsa maki hamun, selain kenderaan guru turut dirosakkan termasuk seperti tayar dipancitkan dan badan kereta dicalar dengan kata-kata kesat.

"Saya sudah membuat laporan polis dan tindakan itu adalah untuk melindungi guru lain juga,” katanya

Guru terbabit yang kecewa dengan kejadian tersebut mahu pelajar terbabit dikenakan tindakan tegas termasuk buang sekolah bagi menjaga keselamatan guru yang mengajar di sekolah ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, kerana mendatangkan kecederaan dengan senjata dan jika sabit kesalahan boleh di penjara tidak kurang dari tujuh tahun.

Sementara itu, Pegawai Pelajaran Daerah Kulim, Abu Bakar Md Ali, enggan memberi sebarang kenyataan ketika ditanya mengenai kejadian itu.

1 comment:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails