4.15.2010

Pelajar Kurang Ajar Menjadi-jadi

Rosak 9 kereta guru...

Hari ini keganasan dan sifat keterlaluan pelajar seperti sudah tidak ada kaedah lagi untuk memulihnya. Guru guru hari ini takut kepada anak murid,malah guru akan berfikir berkali kali untuk mendenda murid jika mereka melakukan kesalahan kerana takut diri mereka atau kenderaan akan jadi mangsa.

Tekanan guru yang mengajar di sekolah pada hari ini sangatlah berat. Bukan kerana untuk mengajar subjek dalam kelas tapi disiplin pelajar yang sangat buruk. Sebagai langkah pertama untuk membendung gejala kurang sihat di kalangan pelajar ini ialah mesti datang dari rumah iaitu kedua ibu bapa mereka yang mesti membentuk peribadi anak-anak. Pendidikan yang mesti diterapkan kepada anak-anak ialah CINTAKAN AGAMA.

PETALING JAYA: Marah kerana dihukum atas kesalahan disiplin, sekumpulan pelajar tingkatan dua sebuah sekolah menengah di Petaling Jaya Selatan boleh diibaratkan setan kecil apabila sanggup merosakkan sembilan kereta guru dengan menyimbah cat kuning dan putih, petang kelmarin.

Mereka juga bertindak ganas apabila memecahkan cermin belakang sebuah kereta Perodua Myvi milik guru.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang, kumpulan pelajar samseng terbabit dipercayai melakukan kerja itu selepas waktu rehat sesi petang .

Kenderaan guru terbabit diletak bersebelahan pagar berdekatan makmal dan kumpulan pelajar terbabit dipercayai menceroboh kawasan sekolah dengan memanjat pagar.
Menurut sumber, seorang pelajar tingkatan dua dikenal pasti menjadi ketua kumpulan samseng itu dan bakal berdepan tindakan tegas.

Mereka pantas melarikan diri dengan memanjat pagar sebelum lesap ke kawasan perumahan berdekatan sekolah, katanya yang enggan dikenali.

Katanya, pelajar terbabit mengisi cat kapur berwarna putih dan kuning ke dalam beberapa karung plastik sebelum menyembur cecair itu di kenderaan guru.
Sumber itu berkata, difahamkan seorang daripada pelajar terbabit mahu merosakkan kenderaan guru disiplin, tetapi mungkin bertukar fikiran dengan merosakkan lapan lagi kenderaan lain yang berada di tempat letak kereta itu.

Bagaimanapun, pelajar tingkatan dua yang mengetuai serangan itu tersilap langkah apabila memecahkan kereta milik seorang guru wanita kerana menyangka ia milik guru disiplin yang menghukum mereka.

Difahamkan, kejadian disedari pengawal keselamatan sekolah apabila sekumpulan pelajar lain menjerit memberitahu ada pelajar menyimbah cat dan memecahkan kenderaan guru dipercayai menggunakan batu.

Antara kenderaan yang menjadi mangsa lepas geram kumpulan pelajar itu ialah Proton Exora, Perodua Myvi dan Perodua ViVA. Sekolah menengah terbabit juga sekolah angkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu diminta menghubungi talian 03-79662222. Difahamkan kes terbabit dilanjutkan kepada pengetahuan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan Kementerian Pelajaran. - Metro

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails