6.11.2013

Janin Di Letak Atas Tangga Masjid

SEGAMAT - “Maaf, saya sudah melakukan kesalahan yang amat berat. Minta tolong imam kebumikan janin ini mengikut cara Islam,” itu antara isi kandungan nota yang ditemui di dalam plastik hitam yang diletak di atas tangga Masjid Jamek Gemereh, di sini, awal pagi semalam. 

Anggota polis memeriksa janin yang diletakkan di dalam bungkusan di Masjid Jamek Gemereh, semalam.
Mayat janin terbabit ditemui oleh Isa Md Amin, 65, noja masjid yang ditugaskan untuk membersihkan kawasan rumah ibadat berkenaan selepas menunaikan solat Subuh secara berjemaah. 

Isa berkata, dia tidak mengesyaki sebarang perkara yang ganjil pada bungkusan berkenaan kerana menganggap itu hanyalah sampah yang ditinggalkan oleh pengunjung masjid. “Namun, saya mula mengesyaki sesuatu yang tidak kena pada bungkusan hitam berkenaan apabila terpandang nota tulisan tangan yang ditinggalkan di dalam beg tersebut dan ketika itu saya mula terhidu bau yang kurang enak. 

“Saya hampir pengsan apabila baca nota itu yang meminta sesiapa menjumpai janin ini supaya mengebumikannya mengikut cara Islam. “Ketika itu saya sudah tak senang duduk dan tidak berani melihat isi kandungan beg tersebut dan segera menghubungi imam masjid ini,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam. 

Isa berkata, dia segera menghubungi imam masjid, Zakaria Yaacob, 78, yang ketika itu baru saja pulang ke rumah terletak tidak berapa jauh dari masjid. Sementara itu, Zakaria berkata, ketika dihubungi Isa pada jam 7.10 pagi, dia baru saja sampai ke rumah dan bergegas kembali ke masjid untuk melihat sendiri janin berkenaan. 

“Sampai-sampai saja, saya segera menyuruh anak saya yang ikut sama untuk memaklumkan perkara ini kepada polis sebab saya sendiri tidak berani untuk membuka bungkusan tersebut. “Ini kejadian pertama orang buang janin di sini. 

Lima tahun lepas ada orang yang pernah buang bayi di kawasan masjid. Hari ini (semalam) ada orang buang janin pula. Pagi tadi ada jemaah yang sudah perasan beg itu, tetapi tidak mengesyaki apa-apa,” katanya. 

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Kamil Sukarmi mengesahkan pihaknya ada menerima laporan berhubung penemuan janin berkenaan. “Kami terima panggilan daripada pengadu pada jam 7.20 pagi berhubung penemuan tersebut sebelum anggota yang bertugas bergegas ke lokasi kejadian. 

“Janin tersebut dibungkus empat lapis oleh plastik hitam dan keadaannya sudah berbau dan hingga kini siasatan sedang dijalankan dan kami menunggu laporan pihak hospital mengenai perkara ini,” katanya. - SH

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails