3.03.2011

Berhati-hati Penipuan Melalui Perbankan Internet


KUALA LUMPUR – Pelanggan perbankan Internet dinasihatkan supaya berhati-hati kerana penipuan melibatkan perkhidmatan tersebut terutama Maybank2u meningkat lima kali ganda pada tahun lalu.

Penolong Pengarah Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Asisten Komisioner Kamarudin Md. Din berkata, sepanjang tahun lalu, polis telah menerima sebanyak 353 kes penipuan dengan kerugian sebanyak RM1.2 juta membabitkan perbankan Internet.

Menurut beliau, jumlah tersebut meningkat mendadak berbanding tahun 2009 iaitu polis hanya menerima sebanyak 75 kes membabitkan kerugian sebanyak RM215,131.

“Penjenayah perbankan Internet akan menggunakan teknik phishing iaitu dengan mewujudkan satu laman web palsu sesebuah bank dan menghantar e-mel kononnya mengenai keselamatan akaun (Security Alert).

“E-mel itu meminta pengguna mengemaskini akaun mereka kononnya untuk mengelakkan sebarang penipuan pihak tidak bertanggungjawab,” kata beliau di sini semalam.

Kamarudin memberitahu, ketika membuat proses kemaskini itu, pengguna akan diminta supaya memasukkan beberapa data peribadi seperti nama, kata laluan dan nombor TAC (nombor empat digit pengesahan transaksi).

"Untuk makluman pengguna, pihak bank tidak menggunakan perkhidmatan e-mel untuk tujuan kemas kini akaun perbankan Internet.

"Sehubungan itu, sekiranya pengguna menerima e-mel sedemikian, sila abaikannya," katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes penipuan perbankan Internet boleh menyalurkan maklumat tersebut ke Pusat Kawalan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman di talian 03-26163999.

1 comment:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails