7.10.2009

Selsema Babi Kian Serius

H1N1 kian serius, galak bertopeng muka, amal 'etika batuk'..

Wabak influenza A (H1N1) semakin serius sehingga kerajaan mencadangkan pemakaian topeng muka jika berkunjung ke tempat sesak, selain mengamalkan "etika batuk" dan menjaga kebersihan diri dan pengudaraan rumah yang baik.

Untuk membendung pandemik ini daripada terus menular dan merumitkan lagi wabak sehingga boleh terjadi kematian, kerajaan juga menggalakkan langkah proaktif "merenggangkan diri daripada orang ramai" seperti mengurangkan perjumpaan.

Serangan wabak influenza A (H1N1) masuk ke tahap baru hari ini dengan wujudnya gejala penularan tempatan yang tidak lagi dapat dikesan puncanya, termasuk di sebuah syarikat di Cyberjaya.

Seramai 12 orang, daripada 24 kes tempatan terbaru, di syarikat swasta itu disahkan diserang wabak, sementara 200 lagi kakitangan di aras yang sama sedang diawasi di pejabat.

Dalam kenyataan hariannya, Datuk Seri Liow Tiong Lai juga berkata 61 kes lagi jangkitan virus wabak selesema itu dikesan, menjadikan jumlah semuanya 574 sejak pertama dikesan Mei lalu.

Sehingga kini jumlah keseluruhan penularan tempatan 159 kes.

Semalam, kementerian mendedahkan perkembangan gejala seakan-akan influenza di Akademi Laut Malaysia (ALAM), Melaka yang melibatkan 50 orang pelatih dan enam disahkan positif influenza A (H1N1).

Tiga langkah diambil untuk membendung pandemik di Malaysia:

1.Merenggangkan diri daripada orang ramai (social distancing) seperti mengurangkan perjumpaan, mengamalkan "etika batuk", kebersihan tangan dan pengudaraan dalam rumah yang baik.

2.Kes-kes yang ringan atau tanpa komplikasi akan dirawat sebagai pesakit luar dan diminta tinggal di rumah.Mereka diminta untuk mengambil langkah kawalan jangkitan serta melaporkan jika tanda-tanda penyakit bertambah teruk.

3.Di pusat-pusat rawatan kesihatan dan perubatan, mereka yang bersimptom perlu diasingkan daripada pesakit biasa.Rawatan antivirus diutamakan kepada pesakit yang berisiko serta penggunaan alat perlindungan diri kepada pesakit dan pekerja kesihatan.

Orang ramai dinasihatkan sentiasa mengikuti perkembangan semasa penyakit ini dan maklumat tepat daripada kementerian melalui laman web www.moh.gov.my dan h1n1.moh.gov.my.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails