2.12.2009

MATI KATAK

Salam perjuangan ....



Wak nak cerita sikit pasal mati katak.. Malam semalam habis jee main badminton Wak pergi Cheng. Naik Wak punya Nuovo 'cari makan'. Antar barang 'Sensaoil'.. ada sorang mamat oder sebotol (Harga murah jee bro RM 39.90 - sape nak order boleh lee call Wak 012-6103619).

Janji dengan mamat ni kat CIMB Cheng. Dah 'setel' urusan jual-beli sensaoil tuu Wak pun balik.. Badanpun dah letih main badminton dengan group Durian Tunggal. Balik sampai jee kat jalan taman rumah Wak tuu, ada pulak sekor katak melompat melintas jalan. Wak cuba elak ... Tayar depan Wak punya motor lepas tapi tayar belakang tak lepas... Apa lagi bro... Terlanggarlah si katak tuuu... 'PENYEK' macam lemping! Dah le tak de insuran... Kesian anak bini si katak tuu.

Agaknya apasal katak tu boleh kena langgar? Wak bawak motor laju sangat ke, katak ni tak pakai baju kilas cahaya ke, dia lompat slow sangat ke.. dia tak tengok kempen jalan raya kat TV kee... Kalau ada idea tolong lah jawab yaa.. Wak Rasa bersalah pulak..

Tapi mooral dia ... Jangan suka ikut perangai katak,, Suka melompat tak tengok kanan kiri... Kalau kena langgar tayar motor jee tak pe lagi, takut kena langgar 'trekta'. Harap2 orang yang suka lompat melompat nii kena berhati-hati di jalan raya. Takut nanti kena langgar lori hantu...

Oklah Wak chow dulu... Wassalam!

KITA ADALAH PENGANTIN

KITA ADALAH PENGANTIN...

Pada suatu masa yang ditetapkan...
Kita pasti dirisik..
Pertunangan sejak azali..
Di hujung hidup nanti..
Berlangsungnya perkahwinanmu dengan maut..

Hantarannya... sakit dan nazak..
Tamu bertandang menghadiahkan esak tangis..
Pengantin dimandikan..
Dipakaikan baju cantik putih..
Wangian gaharu dan cendana..
Keranda jadi pelaminan..
Pengantin bersanding sendirian..

Di arak keliling kampung..
Berkompangkan azan dan kalimah kudus..
Akad nikahnya bacaan talkin..
Berwalikan liang lahat..
Saksi pula nisan-nisan..
Siraman air mawar..
Keluarga terdekat menepung tawar..

Tiba masa pengantin..
Menunggu sendirian..
Bersama KEKASIH..
Di kamar yg dikelilingi tanah..
Dan Dia menuntut janji..

Bersihkah kita tatkala bersua..
Pernahkah taubat sepanjang hayat..
Atau terkubur bersama dosa-dosa...
Dan DIA KEKASIH itu..
Menetapkanmu ke syurga..
Atau melemparkan dirimu ke neraka .


Fikirlah sejenak.. bersedia ke kita menghadapi hari yg gemilang itu...?

wallahu`alam..

2.05.2009

BERITA TERKINI DARI PERAK

Sekadar berkongsi info..

Sehingga kini pembubaran Dun belum berlaku lagi.

Tuanku Sultan masih belum memberi perkenan Dun dibubarkan. Malahan Tuanku meminta Menteri Besar letak jawatan. Namun begitu Mohamad Nizar bertegas tidak akan meletak jawatan.

Kerajaan BN masih belum boleh dibentuk di Perak dan kerajaan Pakatan Rakyat masih sah di sudut undang-undang.

Menurut Undang-undang Tubuh Negeri Perak, terdapat tiga cara untuk menukar menukar kerajaan. Pertama, melalui pembubaran Dun. Menteri Besar Perak menasihati Paduka Seri Sultan Perak supaya membubarkan Dun bagi membolehkan pilihan raya peringkat negeri diadakan dan memberi mandat rakyat memilih kerajaan yang baru.

Kedua Menteri Besar Perak dan semua Exco meletakan jawatan dan menyerahkan jawatan kepada parti yang mendapat kerusi majoriti memerintah Perak.

Ketiga melalui usul undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri. Sekirnya pilihan pertama dan kedua tidak berlaku, rakyat kena menunggu sidang Dewan Undangan Negeri dipanggil bagi membolehkan Usul Undi tidak percaya dibentangkan.

Justeru, selagi Sidang Dun belum bersidang dan Usul Undi Tidak Percaya dibentangkan dan mendapat undi majoriti, selagi itulah Kerajaan Pakatan Rakyat kekal memerintah. -
Sumber : IPOH, 5 Feb (Hrkh): 4.30 petang

Nota : Wak naik pening dengan situasi perkembangan politik di negeri Perak. Tapi satu yang Wak jadi tanda tanya... Apa akan jadi dengan negeri Perak kalau kerajaan yang dipilih bersandarkan kepada wakil rakyat yang bermasalah dan suka lompat melompat... Semua dah berjangkit wabak Ibrahim Ali. Korang piker la sendiri... Wak terpikir jugak, sapalah agaknya yang senasib dengan Bush kena baling kasut .. Tungguuuuuuu!!!

SEDIKIT PERKONGSIAN DI MESYUARAT PIBG SK GANGSA (5 FEB)

Petang tadi Wak hadirkan diri ke Mayuarat Agung PIBG sekoalah anak Wak. Sedikit terkilan sebab usul yang Wak hantar tak masuk senarai. Tapi Wak tertarik dengan usul AJK PIBG seperti berikut :

‘Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris diteruskan’

Sewaktu sesi perbahasan, Wak bangkitkan isu PPSMI. Merujuk kepada analisis peratus kelulusan UPSR tahun 2008 :
B. Melayu (K1) - 91.9%
B. Melayu (K2) - 86.3%
B. Inggeris - 67.7%
Matematik - 82.3%
Sains - 71.8%


Wak minta penjelasan dari pihak sekolah melalui guru besar secara telus dan jujur tentang persoalan yang Wak bangkitkan :

1. Berdasarkan analisis di atas mengapa peratus kelulusan BI masih rendah berbanding Mate dan Sains sedangkan pembelajaran dalam bahasa Inggeris melibatkan tiga matapelajaran (BI, Mate dan Sains). Adakah keputusan UPSR ini dieksploitasi oleh pihak kementerian bagi menampakkan atau ianya dijadikan hujah bahawa dasar PPSMI ini berjaya.
Bagaimana pula pandangan pihak sekolah yang melaksanakan PPSMI terhadap pencapaian sebenar murid-murid jika dibandingkan dengan keputusan peperiksaan percubaan UPSR?

2. Adakah guru-guru menggunakan 100% bahasa Inggeris dalam perlaksanaan PPSMI di dalam kelas. Adakah mengajar bahasa Inggeris lebih mudah difahami oleh murid-murid berbanding menggunakan bahasa Melayu?

3. Bagaimana respon murid-murid terhadap PPSMI?

Namun Wak merasakan guru besar tidak memberikan jawapan yang tepat, telus dan jujur keadaan sebenar di sekolah tentang keberkesanan PPSMI. Tapi Wak tak salahkan guru besar sebab kita kena faham dengan situasi sebagai penjawat awam... lu pikir la sendiri.

Nota : Wak kini salah seorang AJK PIBG SK Gangsa. InsyaAllah .. Wak akan cuba memberi sumbangan yang termampu demi kepentingan anak bangsa.

2.04.2009

USUL DAN PELAN TINDAKAN UNTUK PIBG

Salam untuk semua...

Wak dah buat satu kertas cadangan tapi agak panjang so Wak letakkan di sini dia punya Usul dan objektif terhadap pelan tindakan. Kalau boleh kita kempen supaya semua ibu bapa atau penjaga membawa usul nie ke PIBG sekolah anak masing2...

USUL ATAU CADANGAN PIBG SEKOLAH KEBANGSAAN GANGSA

1. Membentangkan keputusan UPSR tahun 2008 dan peperiksaan percubaan UPSR 2008 bagi mata pelajaran Sains dan Matematik.
Seterusnya membuat perbandingan antara kedua-dua keputusan tersebut.
2. Membuat Kajian Keberkesanan PPSMI Terhadap Murid-murid di Sekolah Kebangsaan Gangsa Melaka.
Bentuk jawatan kuasa bertindak bagi melihat keberkesanan PPSMI secara menyeluruh di sekolah.
3. Membuat Kaji Selidik Tentang Penerimaan dan pandangan Ibu Bapa Berkaitan
Perlaksanaan PPSMI .

OBJEKTIF PELAN TINDAKAN USUL PIBG

1. Semua pihak mendapat gambaran sebenar tentang prestasi murid-murid Sekolah Kebangsaan Gangsa dalam matapalajaran Sains dan Matematik .
2. Membuat penialaian dan perbandingan antara keputusan UPSR 2008 dengan keputusan percubaan UPSR 2008.
3. Mengkaji sejauh mana keberkesanan PPSMI dikalangan murid-murid di Sekolah Kebangsaan Gangsa. Ini termasuklah perlaksanaan PPSMI di dalam kelas, minat dan respon murid-murid terhadap proses pengajaran & pembelajaran serta juga penguasaan mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.
4. Mendapatkan respon dari kalangan ibu bapa terhadap perlaksanaan PPSMI
5. Membentangkan segala dapatan kajian dan respon tentang PPSMI kepada pihak yang bertanggungjawab untuk diambil tindakan susulan.

Nota : Teruskan Perjuangan!!.. Suara Rakyat Suara Keramat!!

KESAN PERLAKSANAAN PPSMI


Melihat.. mendengar.. membaca.. dan kini Wak menulis & edit...

Jika dilihat dengan teliti dan atas pemahaman kita semua, Artikel 152 dengan jelas sudah terang lagi bersuluh ianya memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Dan sesungguhnya, ramai yang bersetuju dengan kenyataan ini. Banyak pihak menentang penggunaan bahasa Inggeris untuk subjek Sains dan Matematik. Antara kesan PPSMI adalah seperti berikut :

Pertama, kesannya sangat dirasai di kalangan pelajar luar bandar di mana tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan mereka amat lemah dan ini boleh dilihat secara langsung menerusi keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini. Tekanan untuk menguasai bahasa Inggeris akan terus menghantui pelajar dari tahun ke tahun dan ditakuti akan menjejaskan keputusan Penilaian Menengah Rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia.

Pelajar yang gagal atau tidak cemerlang pencapaiannya dalam sains dan matematik akan terkandas dalam pelajaran dan tidak mampu untuk bersaing. Fenomena ini melibatkan majoriti pelajar di luar bandar yang jelas terdiri daripada anak-anak Melayu. Implikasi ini secara langsung menjejaskan keutuhan bangsa Melayu yang memang masih jauh ketinggalan dalam pelbagai bidang di negara ini. Bidang pendidikan yang diharapkan dapat melonjakkan citra dan martabat bangsa Melayu akan sebaliknya menjadi alat yang menjatuhkan bangsa Melayu sendiri.

Kedua, selepas lebih 51 tahun merdeka, kita seharusnya berbangga dengan kemampuan bahasa Melayu untuk bersaing di peringkat global. Tidak wajar bagi kita mendidik anak-anak bangsa dengan bahasa Inggeris terutama dalam bidang sains dan matematik seolah-olah memberi gambaran bahawa bahasa Melayu tidak boleh dibawa kemana-mana maka bahasa Inggerislah penentu kejayaan akan datang. Persepsi ini akan dipegang oleh mereka sehingga dewasa dan diwarisi pula kepada generasi akan datang. Akhirnya Bahasa Melayu hanya akan jadi bahasa pasar dan yang ditakuti ia boleh menggugat keutuhan bangsa Melayu sebagai suatu bangsa berdaulat, dan boleh menyebabkan bahasa Melayu akan pupus suatu hari nanti.

Ketiga, subjek Sains dan Matematik sememangnya diakui penting dan menjadi kayu ukur kepada kecemerlangan pelajar. Jika kedua-dua subjek ini dapat dikuasai oleh pelajar, maka secara amnya mereka juga dapat menguasai subjek lain. Jadi, untuk memastikan pelajar boleh menguasai kedua-dua subjek itu dengan baik, maka pengajarannya mestilah di dalam bahasa ibunda, iaitu bahasa Melayu.

Inilah yang telah dilakukan oleh Negara-negara maju seperti German, Jepun dan lain-lain Negara maju di mana pengajaran Matematik dan Sains menggunakan bahasa ibunda.
J.W. Wood (2002) misalnya berpendapat menggunakan bahasa kedua dalam pengajaran akan mengambil masa yang lama dan ini menjadi penghalang utama kepada pelajar untuk menguasai ilmu.

Keempat, pelaksanaannya dilihat terlalu drastik dan ad-hoc kerana guru-guru sendiri terpaksa mempersiapkan diri dengan kemampuan berbahasa Inggeris. Jika diselidiki, terdapat juga guru yang tidak mempunyai kemahiran bahasa Inggeris yang baik tetapi mengajar subjek tersebut. Bak kata pepatah "ketam mengajar anaknya berjalan lurus". Ada juga guru yang mengambil kesempatan kerana mahu menerima elaun bulanan tambahan, sanggup mengajar subjek tersebut walaupun tidak mahir dan akhirnya pengajaran tidak berkesan.

Diawal perlaksanaannya banyak pihak membantah PPSMI terutama dari kalangan Pecinta Bahasa tetapi suara mereka tidak dipedulikan oleh pemerintah malahan ketika kerajaan mahu melaksanakan dasar ini, mereka tidak pernah menghirau pandangan khalayak awam.

Kelima, perlaksanaan PPSMI untuk sekolah menengah bermula 2003 bagi pelajar tingkatan satu telah member kesan yang mendalam terhadap pelajar-pelajar yang menyambung ke tingkatan empat di mana kumpulan pertama ini menduduki PMR dengan subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris tahun 2005.

Kumpulan pertama di sekolah menengah itulah yang kini berhempas pulas belajar bukan saja subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris tetapi juga subjek berkaitan seperti Matematik Tambahan, Fizik, Biologi dan Kimia.

Keenam, soal ketidakadilan dimana ia melibatkan pelajar-pelajar di luar Bandar dan juga mereka yang berpendapatan rendah. Pendedahan mereka terhadap penggunaan bahasa inggeris terhad dimana mereka tidak mempunyai akses kepada guru tuisyen atau tiada duit untuk membayar guru kelas tambahan. Ini berbeza dengan pelajar-pelajar di Bandar dimana ibubapa mereka berupaya mengeluarkan apa sahaja bagi memenuhi keperluan pendidikan anak-anak .

Fenomena ini sudah pastinya akan mewujudkan jurang perbezaan yang amat ketara dari segi penguasaan bidang sains dan matematik dikalangan pelajar-pelajar luar Bandar berbanding pelajar-pelajar di Bandar.

Ketujuh, Kesan buruk daripada perlaksanaan PPSMI ini telah menyebabkan terbantutnya perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa moden terutama dalam bidang Sains dan Teknologi di Negara pada masa kini dan hadapan. Dasar ini secara tidak langsung telah mengambil alih peranan bahasa Melayu dalam mata pelajaran sains dan matematik yang sudah dimulakan 10 tahun dahulu dalam system pendidikan Negara.

Kelapan, berdasarkan pedagogi untuk menguasai bahasa Inggeris melaui Sains dan Matematik adalah salah serta tidak masuk akal keana kemahiran berkomunikasi bahasa Inggeris hanya boleh dikuasai jika bahasa itu sendiri diperkukuhkan.
Ini terbukti apabila kajian mendapati 87.7% pelajar di luar Bandar dan golongan miskin di Bandar mengalami kesukaran menguasai mata pelajaran Sains dan Matematik.

2.02.2009

MEMARTABATKAN BAHASA DAN BANGSA

WAK menulis.....

Isu PPSMI adalah satu isu besar, yang boleh menggugat keutuhan bangsa Melayu sebagai suatu bangsa berdaulat, dan boleh menyebabkan bahasa Melayu akan pupus suatu hari nanti. Isu ini sebenarnya adalah isu yang penting. Ia sebahagian daripada masalah utama yang dihadapi rakyat Malaysia hari ini.

Tampaknya golongan yang ghairah untuk mencapai kemajuan dalam sains dan teknologi dan dalam penguasaan bahasa Inggeris tidak sama sekali menghayati perancangan pemimpin awal kemerdekaan, khususnya Tun Abdul Razak yang merupakan arkitek konsep kenegaraan Malaysia, termasuk dalam bidang pendidikan.

Kita bukanlah buta hati dalam memahami peri pentingnya sains dan teknologi serta bahasa Inggeris dan bahasa asing lain dalam pembinaan dan pengembangan tamadun negara. Namun, sekali lagi ditegaskan bahawa strategi yang munasabah hendaklah diperhitungkan, iaitu kekalkan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang meletakkan peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama. Pada waktu yang sama perkukuh pengajaran Bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa asing lain yang penting melalui mata pelajaran bahasa asing itu sendiri.

Sungguh pun kemajuan sains dan teknologi merupakan suatu keperluan, meneguhkan jati diri serta mencapai cita-cita menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa yang merentas semua bidang ilmu juga hendaklah dilihat sebagai suatu keperluan.

Aminudin Baki pada tahun 1956 menyebutkan hubungan sikap pemimpin politik Melayu dengan bahasa Melayu sebagai berikut:-
"Anchaman datang daripada ... golongan Melayu yang ... kurang perchaya tentang kebolehan bahasa Melayu ... sehingga timbul-nya ... rasa tidak tahu membuat apa2 bila bahasa Inggeris chuba hendak digantikan dengan bahasa Melayu. Ini adalah keadaan biasa di-kalangan bangsa2 yang dijajah, ... hasil penjajahan di-'alam fikiran dan kehidupan pendudok."

Natijahnya berdasarkan kenyataan pemimpin Melayu kini, kita dapati agak sukar untuk meneruskan usaha kembalikan dasar Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar Sains dan Matematik di sekolah-sekolah.
Antara alasan popular ialah, kerajaan telah banyak menghabiskan wang dan masa ke arah penyediaan pakej prasarana teknologi termasuk latihan kemahiran, kepakaran sebelum ini ke atas guru-guru Sains dan Matematik bagi menggalas tugas ini.

Ada dua jawapan ke atas alasan kerajaan ini. Pertama, ketika kerajaan mahu melaksanakan dasar ini, mereka tidak pernah menghirau pandangan khalayak awam. Jadi, wajarlah kerugian ini ditanggung mereka sendiri.
Kedua, jika parti pemerintah bijak, daripada rugi sedikit pada masa sekarang dan rugi banyak dalam tempoh jangka panjang, yang manakah mereka akan pilih?
Peliknya orang-orang yang masih berjiwa terjajah yang masih mempertahankan PPSMI, apabila mereka bercakap pasal isu PPSMI ini, mereka langsung tidak menyentuh soal perlunya kita kepada identiti bangsa, kepada jiwa bangsa, kepada kedaulatan kita sebagai bangsa yang ada budaya dan tamadun sendiri.

Jika kita lihat penubuhan UKM sendiri telah dipersetujui untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar, kita dapati ramai doktor, teknorat, jurutera yang berjaya mendapatkan ijazah tanpa sebarang masalah. Malah, tahap penguasaan bahasa Inggeris mereka juga baik. Angkasawan Dr Syekh Muzaffar Berjaya dilahirkan melalui pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu. Dan beliau juga tiada masalah berbahasa Inggeris. Dr Syekh Muzaffar adalah salah satu hujah kuat yang menunjukkan bahawa dasar pendidikan kita selama ini tiada masalah.

Pada hakikatnya bahawa bahasa Melayu ini sebenarnya hanya tinggal beberapa langkah sahaja lagi untuk mencapai darjat sebagai bahasa ilmu di peringkat dunia sehinggalah pihak pemerintah telah datang merosakkan kemurnian bahasa dan mencalarkan segala-galanya.

Isu yang cuba kita bangkitkan di sini ialah peminggiran bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu dalam proses peningkatan penguasaan bahasa asing. Hal yang tidak wajar berlaku kerana maruah dan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa negara dan tonggak tamadun bangsa tidak patut digadaikan walau atas alasan apa sekalipun. Marilah sama-sama kita berjuang untuk memartabatkan Bahasa Melayu dan Bangsa Melayu demi maruah dan harga diri.

Nota : Wak sedang menyiapkan satu 'kertas kerja' yang akan dibentangkan dalam Mesyuarat PIBG tempat anak Wak sekolah.... Jika dah siap nanti Wak akan titipkan di sini... InsyaAllah!!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails