10.15.2010

Melatih Anak Menginfak

Sekadar renungan...

Sempena di hari Jumaat yang mulia ini, Wak nak besembang tentang melatih anak bersedekah atau menginfak ke jalan agama. Setiap hari Jumaat ketika pergi solat Jumaat, Wak akan bekalkan dua orang anak lelaki Irham dan Irfan wang untuk dimasukkan ke dalam tabung masjid.

Wak bawakan cerita yang boleh dijadikan sebagai contoh dan teladan iaitu tentang tokoh Ikhwan Muslimin, Asy-Syahid Hassan al-Banna. Beliau memberi perhatian yang besar kepada dakwah dan didikan kepada umat Islam.

Ahli-ahli keluarganya adalah sasaran dakwah dan tarbiahnya, sebagaimana beliau mensasarkan dakwahnya kepada segenap umat Islam. Antara didikan beliau kepada anak-anaknya, beliau membiasakan mereka mengeluarkan duit untuk sedekah dan infak.

Setiap hari Jumaat, beliau akan memberikan sejumlah wang kepada setiap orang anaknya untuk mereka sedekahkan atau mereka infakkan ke jalan agama. Anak-anaknya tahu, setiap kali selepas solat Jumaat mereka akan menerima wang daripada ayah mereka. Dan mereka tahu wang itu bukan untuk disimpan atau dibelanjakan tetapi untuk diagih-agihkan khususnya sebagai sumbangan untuk aktiviti dakwah. 

Sedekah boleh dibuat pada bila-bila masa dan orang seperti al-Banna tidak pernah mencatu infak hartanya ke jalan Allah. Tetapi beliau menjadualkan pemberian sedekah oleh anak-anaknya pada hari Jumaat sebagi satu latihan.

Beliau juga menanamkan tauhid ke dalam jiwa anak-anaknya, agar mereka merasakan bahawa Allah menilai semua amal baik yang mereka kerjakan dan Allah akan membalasnya dengan kebajikan yang berganda. Sudah pasti beliau juga menanamkan rasa kehambaan yang tinggi ke dalam jiwa anak-anaknya, supaya mereka tahu bahawa Allah sentiasa memerhati perilaku dan tindak-tanduk mereka walaupun andainya manusia tidak melihatnya. ‘Intipan’ Allah melebihi segala-galanya.

Apabila anak-anak sudah dibiasakan memberi sesuatu kepada orang lain atau menyumbang harta ke jalan Allah, dia akan lebih bersedia untuk menjadi khadam ummah. Bukan saja hartanya, malah jiwa dan raganya sanggup dikongsi untk kepentingan agama. 

Satu perkara yang besar selalunya bermula daripada kecil. Seringgit dua yang dihulurkan kepada anak untuk dimasukkan ke dalam tabung masjid umpamanya, mungkin membawa kepada sumbangan yang lebih besar dan yang lebih penting....  ianya konsisten, apabila pada satu ketika si anak mula faham akan nilai sesuatu pemberian itu disisi Allah. 

Asy-Syahid Hassan al-Banna ialah pemimpin sebuah pergerakan dakwah yang besar dan amat berpengaruh pada zamannya. Beliau sentiasa sedar akan hakikat bahawa kejayaan dakwah dan tarbiah di peringkat yang lebih besar sentiasa bermula daripada dakwah tarbiah diperingkat yang lebih kecil, iaitu diperingkat keluarga. Salah satu daripadanya adalah dengan melatih anak-anaknya menginfakkan harta. 

Waullahualam...

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails