1.26.2010

Zulkifli Noordin Tetap Berkeras

Tidak akan menarik balik laporan polis.....

Anggota parlimen kawasan Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin tidak akan menarik balik laporan polis yang dibuatnya terhadap anggota parlimen Shah Alam, Khalid Samad walaupun telah diminta berbuat demikian oleh penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Zulkifli, daripada PKR, berkata beliau akan hanya berbuat demikian jika Khalid daripada PAS, menarik balik kenyataannya yang menyebut Enakmen Agama Islam Negeri Selangor yang melarang penggunaan kalimah Allah ketinggalan zaman, serta memohon maaf kepada seluruh umat Islam dan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

"Hari ini saya telah diminta oleh Datuk Seri Anwar untuk tarik balik laporan itu. Saya jawab tak ada sebab untuk tarik laporan itu, melainkan Khalid tarik balik kenyataan mengenai enakmen tersebut, minta maaf kepada umat Islam dan Sultan," katanya kepada Bernama malam semalam.

Tindakan Beliau ‘Membantu Umno’ – Syed Husin Ali

Ahli parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin nampaknya tidak bercadang untuk menyelesaikan masalah berhubung perdebatan isu penggunaan kalimah 'Allah', tetapi sebaliknya bertindak seolah-olah "membantu Umno", kata timbalan presiden PKR, Syed Husin Ali.

"Beliau (dilihat) tidak bercadang hendak selesaikan masalah, sebaliknya menggunakan isu ini untuk kepentingan diri. Dan secara sengaja atau tidak sengaja, telah membantu Umno," kata Dr Syed Husin.

"Tindakan melalui blog atau media yang dilakukan Zulkifli bukanlah kali pertama. Ini perkara yang serius," tambahnya.

Beliau diminta mengulas tindakan Zulkifli yang membuat laporan polis terhadap wakil rakyat PAS, Khalid Samad kerana berkata, Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 sudah ketinggalan zaman dan perlu dibuka kepada perbincangan semula.

Tindakan Disiplin Terhadap Zulkifli Noordin – Datuk Zaid Ibrahim

Ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi (MPT) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim menyokong tindakan disiplin dikenakan kepada Ahli Parlimen PKR Kulim Bandar baru, Zulkifli Nordin kerana mendakwa Zulkifli sering membuat tindakan yang melampau.

Zaid merujuk kepada tindakan Zulkifli membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen PAS Shah Alam, Khalid Samad berhubung isu penggunaan kalimah Allah.

"Saya harap parti lebih serius kali ini untuk ambil tindakan terhadap Zulkifli. Kita tak boleh terima wakil rakyat yang macam ini, sering membuat tindakan yang merugikan parti dan mengelirukan orang Islam dan bukan Islam," katanya dalam satu sidang media di kediamannya pagi tadi.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails