9.12.2009

Dr Mahathir : BN Akan Kalah Pada PRU-13

Krisis dalaman MCA dan MIC semakin ‘ruwet’....

Dr Mahathir berkata jika pergolakan dua parti komponen terbesar BN iaitu MIC dan MCA tidak ditangani dengan berhati-hati, BN akan tewas dalam pilihan raya umum yang akan datang.

Sebagaimana yang telah kita maklum, MCA kini bergelut menghadapi krisis dalaman susulan ketegangan presidennya Datuk Seri Ong Tee Keat dengan timbalannya yang dipecat Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sehingga memaksa kemungkinan wujudnya dua mesyuarat agung luar biasa (EGM).

Dan yang terbaru timbalan presiden MCA yang dipecat, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menyerahkan kepada ibupejabat MCA, senarai tandatangan 921 perwakilan MCA, yang mendesak supaya diadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM).

Sekurang-kurangnya dua resolusi disahkan setakat ini:

1. Lantikan semula Chua sebagai timbalan presiden.
2. Lulus undi tidak percaya terhadap presiden Datuk Seri Ong Tee Keat.

Menambah ruwet dalaman MCA apabila Tee Keat semakin sibuk dengan siasatan SPRM. Malahan, repot polis yang dibuat terhadap King Sing juga menambahkan bebanan kerjanya. Begitu juga King Sing, selain SPRM mendapatkan maklumat darinya, beliau juga sedang menghabiskan banyak masa dengan pihak polis berdasarkan repotnya yang pernah menyerahkan RM10 juta kepada Tee Keat dalam tiga masa berlainan di sekitar Lembah Kelang.

Mungkinkah Tee Keat berundur? Adakah apa-apa jaminan jika Tee Keat berundur, masalah dalam MCA akan dapat diselesaikan atau, MCA akan berkecai menjadi sebuah parti yang hilang seri dan sengatnya.

Masihkah MCA mempunyai masa untuk memperbaiki imejnya yang sudah tercemar ini? Jika mereka lambat menyusun semula organisasi mereka, MCA dipercayai menjadi beban kepada BN dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Dalam pada itu Perdana Menteri, DS Najib berkata bahawa beliau tidak akan campurtangan dalam keputusan parti itu memecat timbalan presidennya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek kecuali diminta menjadi orang tengah.

Pada ketika MCA dirundung krisis yang semakin ruwet, PPP dan MIC juga menghadapi masalah dalaman yang cukup berat. PPP yang baru selesai isu dua Presiden, MIC pula mempamirkan pertelingkahan secara terbuka antara Datuk Seri S. Samy Vellu dengan Datuk S. Subramaniam.

Krisis dalaman MIC, parti terbesar yang mewakili orang India nampaknya semakin bercelaru dengan hanya tinggal beberapa jam saja lagi berlakunya pemilihan pucuk pimpinan parti. Ini bagi menentukan hala tuju parti itu di bawah pimpinan presiden Samy Vellu yang telah mengumumkan akan bersara pada 2012.

Krisis antara Samy Vellu dan S. Subramaniam nampaknya masih berterusan . Samy Vellu mendedahkan beliau mempunyai satu ‘bom hidrogen’ yang boleh membongkar rahsia Datuk S. Subramaniam dan menjatuhkan maruahnya di khalayak ramai.

Bagaimanapun beliau berkata tidak akan meletupkan bom hidrogen berkenaan kerana ia bukan tindakan baik untuk dilakukan oleh seseorang pemimpin ketika bakal menghadapi pemilihan parti.

Samy Vellu mendakwa, bekas Timbalan Presiden parti itu telah menyediakan beberapa butir ‘bom’ untuk menyerangnya demi kepentingan diri sendiri.

Namun kritikan yang terbaru dari mantan perdana menteri Dr. Mahathir terhadap beliau melaui akhbar Tamil Makkal Osai telah menambah krisis dalaman MIC apabila Samy Vellu mendakwa mantan PM itu menyokong calon timbalan presiden, S. Subramaniam.

Akhbar itu melaporkan kritikan mantan perdana menteri itu terhadap Samy Vellu sebagai presiden MIC yang menyebabkan ketewasan teruk dalam pilihan raya umum lalu . Beliau berkata, kelemahan MIC terletak pada Samy Vellu dan ramai orang India tidak mahu menyokong MIC disebabkan oleh Samy Vellu.

Apa akan terjadi drama dalam MIC ini kita sama-samalah tunggu selepas pemilihan pucuk pimpinan pada hari ini . Adakah calon-calon pilihan presiden parti akan terpilih untuk menjadi saf utama dalam kepimpinan MIC atau sebaliknya. Pasti drama ini lebih menarik andainya nanti kepimpinan yang dipilih oleh para perwakilan adalah bukan dari kalangan mereka yang dilobi sendiri oleh presiden parti.

Persoalannya.... Adakah telahan mantan PM Dr Mahathir akan menjadi kenyataan bahawa BN akan tumbang pada pilihanraya yang akan datang!!!! Jika krisis MCA dan MIC terus ‘ruwet’, maka tidak mustahil BN menerima nasib yang sama seperti parti pemerintah di Jepun. Tumbangnya sebuah kerajaan yang telah memerintah lebih 50 tahun.......... Sayonara BN!

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails