4.22.2009

APA CERITA SAMPAI DIBELASAH 48-0

Malaysia kena belasah 48-0....

KUALA LUMPUR - Skuad rabgi kebangsaan tunduk 0-48 kepada pasukan Universiti New Zealand pada perlawanan persahabatan di sini, semalam. Kekalahan itu bagaimanapun tidak membimbangkan jurulatih, Deano Herewini yang menyifatkan pertemuan itu sebagai perlawanan ujian kepada skuad yang baru menjalani latihan selama tiga minggu lalu.

Skuad negara kalah tanpa melawan menerusi lapan try dan empat conversion pemain lawan pada perlawanan yang berlangsung di padang Kelab Diraja Selangor, Bukit Kiara.

Herewini yang mengendali pasukan kebangsaan sejak Februari lalu berkata, skuad bimbingannya yang sedang dalam persiapan untuk Kejohanan Empat Negara, di sini Jun ini, belum berada pada tahap terbaik.

Ini kerana, katanya, skuad negara baru sahaja tiga minggu memulakan latihan setelah semua para pemain berehat panjang selepas kejohanan Piala Agong, November lalu.

''Ini merupakan perlawanan pertama kami selepas saya menyusun semula pembentukkan skuad kebangsaan untuk Kejohanan Empat Negara Jun ini, sejak tiga minggu lalu.

''Memandangkan situasi itu, kekalahan ini tidak begitu membimbangkan saya kerana ia lebih kepada perlawanan untuk menguji kemampuan awal para pemain.

''Apa yang saya perhatikan kecergasan pemain amat lemah, sehingga gagal melakukan tackle yang baik, pemain-pemain juga tidak menunjukkan persefahaman.

''Namun, saya yakin apabila pemain-pemain berpengalaman dapat dikumpulkan, skuad ini akan lebih mantap,'' katanya.

Sementara itu, pengurus pasukan kebangsaan, Kamal Abdul Rahman berkata, pasukan negara kalah kepada lawan yang mempunyai standard permainan yang tinggi.

''Skuad kebangsaan yang sedang kita bentuk ini masih terlalu baru malahan pemain-pemain juga belum dimuktamadkan.

''Masih ramai pemain yang belum menghadiri sesi pemilihan dan saya jangkakan selepas tiga perlawanan ujian, skuad ini akan cukup bersedia untuk beraksi pada Kejohanan Empat Negara Jun depan,'' katanya.

Kejohanan Empat Negara akan disertai China, selaku pilihan utama, skuad kebangsaan, Pakistan dan India.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails