12.12.2009

CUTI SEKOLAH YANG PANJANG

Cuti sekolah datang lagi....

Hujung minggu nie genaplah 3 minggu anak-anak kita yang bersekolah bercuti panjang.
Teringat zaman wak masa budak sekolah dulu, bila datang je cuti sekolah…rasa macam merdeka…! Beban belajar macam dah habis. Mulalah merancang macam-macam dengan kawan-kawan apa nak buat. Yang pastinya berkubang kat parit depan rumah, main layang-layang kat padang sekolah, memancing kat parit @ sungai, main gasing dan macam-macam benda lagi yang kami nak buat. Kenangan lama tu tetap segar dalam fikiran setiap kali cuti sekolah datang lagi.

Kadang-kadang kalau dah jumpa kawan-kawan, sampai lupa nak balik makan tengahari kat rumah. Keluar pagi, petang baru balik. Round satu kampong. Inilah pengisian cuti sekolah hidup di kampong. Jauh berbeza dengan senario anak-anak yang duduk di bandar @ taman perumahan....

La ni wak perati anak-anak kita bila cuti sekolah jeee, dah tak 'kreatif' macam kita dulu. Sebelum cuti lagi dah mula merancang dengan emak bapak nak bercuti kat mana…. Kalau tak pun budak-budak nie duduk rumah ngadap tv, komputer sambil melayan internet atau melayan telefon bimbit. Bila dah bosan duduk di rumah, dia orang melepak dengan kawan-kawan di pusat-pusat membeli belah, menonton wayang, main bowling dan macam-macam lagi benda yang dia orang buat. Itulah bezanya cuti sekolah zaman kita dulu dengan zaman budak-budak sekarang.

Kadang-kadang wak terfikir, agaknya zaman dah berubah…dah moden… dia orang semua dah hidup senang. Dia orang dah malas nak fikir macam zaman kita budak sekolah dulu. Walau apapun kita kena kawal juga anak-anak kita, supaya mereka tidak terlalu bebas, lebih-lebih lagi dalam zaman yang serba mencabar sekarang.

Untuk Abang long dang angah... Wak dah masukkan kelas agama untuk dia orang. Bermula awal bulan Disember dan tamat pada hujung tahun nie. Dia orang masuk kelas agama dari hari Isnin hingga Jumaat. Kelas yang anak-anak wak ikuti termasuk belajar Bahasa Arab, Mengaji (Termasuk belajar Tajuwid dan Hafazan), Amali solat dan tulisan jawi.

Ada jugak pengisian untuk dia orang. Kalau tidak duduk rumah asyik nak bergaduh dan yang Angah nie suka menyakat adiknya... Si Tini (3 tahun). Asyik melalak je lah budak tuu.

Petang-petang wak ajak dia orang main badminton kat taman depan rumah. Kalau wak ada main badminton... 3 kali seminggu, memang wak ajak dia orang nie. Ari tu masa Master Super Series Final kat Johor Bharu wak bawak dia orang tengok. Punya lah seronok dia orang dapat tengok aksi-aksi jaguh dunia.



La nie Along dan Angah dah kenal pemain-pemain dunia. Dapat la jugak bergambor dengan Peter Gade. Yang lain tak berkesempatan. Bukan apa biar dia orang ada minat kat sukan badminton macam bapaknya. Ada le aktiviti riadah bila dah besor nanti.

InsyaAllah kami sekeluarga akan berjalan cuti-cuti Malaysia ke Penang pada Cuti Crismas nanti. Mudah-mudahan cuti sekolah yang panjang kali ini cukup bermakna untuk anak-anak wak dan sekurang-kurangnya wak dah cuba memberikan pengisian yang bermanfaat.

12.10.2009

Akhlak Pelajar Kolej Komuniti Membimbangkan

Apa nak jadi.... Isu pelajar Kolej Komuniti dah masuk Parlimen!!!

KUALA LUMPUR, 10 Dis: Dr. Lo' Lo' Ghazali (PAS-Titiwangsa) mendakwa sahsiah dan akhlak pelajar-pelajar Kolej komuniti membimbangkan menyebabkan ibu bapa ragu-ragu untuk menghantar anak mereka melanjutkan pelajaran ke institusi berkenaan.

Dr. Lo' Lo' sewaktu mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pagi tadi ingin tahu samada mata pelajaran Pendidikan Agama Islam diajar atau tidak di kolej berkenaan.


"Saya mendapat rungutan daripada ibu bapa yang gusar untuk menghantar anak mereka ke kolej komuniti kerana ia dicemari dengan budaya negatif seperti budaya couple, vandalisme, buli dan sebagainya.

"Adakah mata pelajaran Agama Islam turut diajar kepada mereka bagi memastikan mereka bukan sahaja menjadi pekerja yang amanah tetapi tinggi akhlak dan sahsiahnya," soalnya.

Sebelum itu, Datuk Dr. Tekhee @ Tiki anak Lafe (BN-Mas Gading) meminta Menteri Pengajian Tinggi menyatakan jumlah terkini Kolej Komuniti dan jumlah keseluruhan pelajar sepenuh masa mengikut bidang kursus yang mereka ikuti di seluruh negara dan mekanisme yang digunakan untuk memastikan mereka tidak akan menyumbang kepada masalah graduan menganggur di negara ini nanti.

Timbalan Menteri, Datuk Saifuddin Abdullah (BN-Temerloh) dalam jawapannya memberitahu, sehingga Oktober 2009, terdapat 42 buah kolej komuniti induk dan 18 buah kolej komuniti cawangan yang beroperasi di seleruh negara.

Bilangan enrolmen pelajar program sepenuh masa, bagi sesi pengajian Julai 2009 ialah seramai 17,279 orang. Sebanyak 34 program pendidikan dan latihan dalam bidang teknkal, teknologi, perdagangan dan perkhidmatan dijalankan di kolej komuniti.

Beberapa langkah telah dilaksanakan bagi memastikan graduan kolej komuniti memenuhi pasaran kerja, antaranya ialah menggunakan pendekatan Work-Based Learning (WBL) yang mewajibkan pelajar menjalankan latihan pekerjaan selama setahun di tempat kerja.

Selain itu, Kementerian juga melaksanakan Skim Pengukuhan Graduan (SPG) yang bersifat enrichment, reinforcement, dan updating berkonsepkan tambah nilai, khususnya dalam bidang teknikal, teknologi, perkhidmatan dan keusahawanan.- Harakahdaily

"Tamparan hebat dan suatu cabaran kepada semua pensayarah Kolej Komuniti terutama para Ustaz dan ustazah......"

12.09.2009

Kes Penceraian Semakin Membimbangkan

460 pasangan muda bercerai di Perlis

Pasangan suami isteri yang berusia bawah 35 tahun banyak terbabit dalam kes perceraian di Perlis dan antara puncanya ialah mereka lebih mengutamakan nafsu dari ikatan perkahwinan kata Pengarah Pembangunan Wanita Perlis, Affendi Rajini Khan hari ini.

Menurutnya 460 kes perceraian didaftarkan di Perlis sepanjang tahun ini berbanding lebih 1,400 kes pernikahan bagi tempoh yang sama yang mana kebanyakan kes perceraian membabitkan pasangan bawah 35 tahun.

"Kebanyakan yang memohon cerai telah berkahwin antara lima dan 10 tahun dan kes itu telah menimbulkan masalah kepada masa depan anak-anak mereka," katanya selepas majlis pelancaran program Nur Bestari peringkat Parlimen Kangar yang dirasmikan Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu di sini hari ini.

Bagaimanapun, katanya, 68 pasangan telah rujuk semula setelah menyedari masa depan anak-anak mereka tidak menentu akibat perceraian itu.

Sementara itu, Md Isa ketika melancarkan program tersebut mengingatkan pasangan suami isteri sentiasa memikirkan kebahagiaan dan masa depan keluarga terutamanya anak-anak.

Katanya, perceraian akan membawa kemusnahan kepada institusi keluarga yang telah mereka bina. BERNAMA


Firman Allah swt di surah An Nisa' ayat 19,

"Pergaulilah isterimu dengan baik, sekiranya kamu benci kepada mereka, boleh jadi ada yang kamu benci itu Tuhan akan menjadikan kebaikan yang banyak padanya"


Dari Ibnu Umar r.a dari Nabi Muhammad saw beliau bersabda yang bermaksud,

"Perbuatan halal yang dimurkai Allah ialah talak"

Riwayat Abu Daud dan Hakim

Ayat Al-Quran dan Hadis di atas ini dengan jelas memberikan kita penjelasan bahawa perceraian merupakan suatu perkara yang paling dibenci oleh Allah swt. Agama Islam tidak mengalakkan umatnya bercerai berai, kerana ia akan mengakibatkan implikasi yang negatif kepada pasangan itu sendiri, anak-anak, keluarga mahupun masyarakat amnya.

Amanah dan tanggungjawab ini hanya dapat dilaksanakan oleh kedua pasangan suami isteri dengan baik dan sempurna, jika keduanya menjadikan dasar ikatan atau perjanjian yang suci ini dengan bersumberkan iman dan taqwa kepada Allah swt. Selagi kedua pasangan ini menjadikan sumber pegangan mereka berpandukan dengan ajaran Islam, Insya Allah tujuan dan matlamat perkahwinan yang didambakan akan berkekalan hingga ke akhir hayat mereka.

12.02.2009

MANSUH SUBSIDI GULA.... HARGA GULA NAIK!!!!

Subsidi gula mungkin dimansuh?

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sedang mengkaji cadangan pelbagai pihak supaya menarik balik subsidi gula dalam usaha mengurangkan kadar pengambilan bahan itu di kalangan rakyat Malaysia.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kementerian memandang serius cadangan tersebut dan keputusan sama ada mahu memansuhkan subsidi gula akan dibincangkan di peringkat kabinet tidak lama lagi.

"Kami masih membuat penelitian sama ada mahu mengurangkan atau memansuhkan terus subsidi gula yang diberi kerajaan.

"Kami akui subsidi gula yang diberi amat tinggi justeru kami sedang mengkaji cadangan beberapa pihak supaya memansuhkannya memandangkan gula bukanlah satu keperluan di negara ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Kurangkan Pengambilan Gula anjuran Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata setakat ini kerajaan memperuntukkan RM720 juta setahun bagi menanggung kos subsidi gula bagi mengekalkan harga gula bertapis pada paras RM1.45 sekilogram.

Ismail Sabri bagaimanapun berkata harga gula dijangka mencecah RM2.45 sekilogram tahun depan jika kementerian mengambil keputusan untuk memansuhkan subsidi gula.

Katanya, faktor cadangan pemansuhan subsidi itu dipertimbangkan antaranya kerana Malaysia satu-satunya negara yang membekalkan subsidi gula kepada rakyat.

Selain itu, katanya, ia sebagai menyokong usaha mewujudkan gaya hidup sihat di kalangan masyarakat negara ini.

Terdahulu, Presiden CAP SM Mohamed Idris turut menggesa kerajaan agar menghapuskan subsidi gula selepas beberapa persatuan pengguna lain turut mencadangkan usul yang sama baru-baru ini. BERNAMA

11.11.2009

Potong Jangan Tak Potong

Iklan 'potong' jadi isu di Parlimen....

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang mengkaji penyiaran iklan P1 Wimax broadband yang menimbulkan kontroversi apabila menggunakan perkataan 'potong' secara berulang-kali dalam iklan itu.

Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Senator Heng Saei Kie berkata kandungan iklan itu sedang dalam pertimbangan forum kandungan SKMM untuk menentukan sama ada ia bercanggah dengan kod kandungan yang sepatutnya.

"Bagaimanapun untuk makluman semua, iklan sebelum boleh disiarkan mesti mendapat kelulusan Lembaga Penapisan Filem bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan bukannya kementerian ini," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2010 di peringkat dasar bagi kementerian berkenaan di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) mencelah penggulungan Heng bagi meminta kementerian menghentikan penyiaran iklan itu yang dikatakan boleh disalah tafsir.

"Bila kita kata potong ini... lucah sangat la... kita faham (tukar penggunaan talian internet kepada jalur lebar) tapi bagi sesetengah orang, potong itu maknanya potong itulah (merujuk kepada amalan bersunat).

"Saya ingat kalau boleh minta menteri iklan itu dipotonglah," katanya.

11.05.2009

SKIM PENCEN Vs SKIM KWSP

Mana pilihan anda....

Minggu lepas bekas anak murid Wak ada bertanya tentang perbezaan skim pencen dengan skim KWSP. Sedia maklum apabila seseorang penjawat awam yang akan disahkan dalam jawatan akan diberi pilihan samada ingin memilih skim pencen atau skim KWSP.

Di bawah ini Wak ada catatkan perbezaan antara skim pencen dan skim KWSP.

Skim Pencen

1. Ganjaran Perkhidmatan
7.5% x Jumlah bulan perkhidmatan x Gaji akhir

2. Pencen Bulanan
1/600 x Jumlah bulan perkhidmatan x Gaji akhir
(Tertakluk kepad pencen maksimum setengah daripada gaji akhir

3. Faedah perubatan untuk suami/isteri, anak kurang upaya, anak bawah 18 tahun atau masih dalam institusi pendidikan dan ibubapa.

* Ibubapa hanya semasa pegawai dalam perkhidmatan

4. Pencen terbitan untuk balu/duda/anak


Skim KWSP

1. Caruman KWSP bulanan mengikut kadar untuk majikan (12%) dan pekerja boleh membuat pilihan samada (8%) atau (11%)

2. Menerima semua faedah dalam SSM seperti guru lain semasa dalam perkhidmatan

3. Hilang faedah perubatan apabila bersara

4. Tidak ada bayaran ganjaran dan pencen bulanan

5. Terpaksa membayar balik baki pinjaman perumahan sekaligus apabila bersara.

Pada pandangan Wak, bagi kakitangan kerajaan lebih baik memilih skim pencen berbanding skim KWSP. Sebab Wak pernah merasa duduk dalam skim KWSP yang mana semasa membuat pilihan suatu masa dahulu hanya mendengar pandangan dari pengetua sekolah tempat Wak mengajar (SMTKK Jelebu).

Tetapi kini Wak bersyukur kerana perjuangan CUEPACs selepas bertahun-tahun akhirnya berjaya dan sekali lagi Wak membuat pilihan dan pastinya Wak memilih skim pencen. Apapun pilihan terletak di tangan anda....

11.03.2009

Sijila Halal : Dimana Relevannya???

Kapsul ubat: Gelatin babi dicop halal

Kira-kira 30 peratus daripada 100 produk kesihatan yang diuji di makmal Pusat Pengajian Sains Farmasi Universiti Sains Malaysia (USM) tidak halal kerana menggunakan gelatin kapsul ubat dari khinzir.

Dekan Pusat Pengajian berkenaan Prof Madya Dr Syed Azhar Syed Sulaiman (foto, kanan) berkata kesemua produk yang diuji sejak setahun lepas itu dihantar oleh Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan dan pengeluar produk bagi mengenal pasti sumber gelatin yang mereka gunakan.

"Daripada 100 produk yang kita uji, sebanyak 30 peratus tidak halal dan menggunakan gelatin dari khinzir kerana ia lebih murah daripada gelatin lembu.

"Bagaimanapun ini bukanlah menggambarkan keseluruhan pasaran gelatin kapsul di Malaysia kerana ada pengeluar yang terlibat bertindak menukar gelatin yang mereka gunakan kepada yang halal seperti gelatin lembu selepas dimaklumkan perkara berkenaan," katanya selepas satu sidang akhbar di USM di Pulau Pinang hari ini.

Gelatin adalah suatu campuran protein diekstrak daripada kulit binatang.

Syed Azhar berkata produk kesihatan yang diuji tidak halal itu memang terdapat di pasaran dan ia dijual sejak beberapa tahun lepas.

"Ini yang kita bimbangkan kerana gelatin kapsulnya tidak halal dan produk berkenaan dikeluarkan sijil halal yang sah ekoran bahan utamanya halal," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap Kementerian Kesihatan mewajibkan pengeluar produk kesihatan menggunakan gelatin kapsul dari sumber yang halal.

Sementara itu, sekumpulan penyelidik USM yang diketuai Prof Madya Dr Gam Lay Harn (foto, kiri) berjaya menghasilkan kaedah yang pertama di Malaysia bagi mengenal pasti sumber bahan untuk gelatin kapsul ubat.

Dr Gam berkata dengan menggunakan teknik-teknik pengekstrakan dan pengasingan protein yang sesuai, pihaknya berjaya membangunkan satu kaedah pengenalpastian sumber gelatin sama ada daripada lembu atau khinzir.

Penyelidikan itu dibantu Zuraidah Mohd Zobir, Yap Beow Keat dan Lim Chu Ai.

Dr Gam berkata pada campuran yang mengandung 20 peratus gelatin khinzir atau lebih bagi setiap kapsul ubat, pihaknya 100 peratus yakin dapat mengesan kandungan gelatin tersebut.

Beliau menjangkakan kaedah yang telah memenangi beberapa anugerah di Malaysia dan luar negara itu mampu diterima di seluruh dunia terutama di negara-negara Islam kerana ia melibatkan produk halal dan haram. BERNAMA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails