8.04.2009

Peserta Demo Diupah : Kenyataan Paling Lawak

Agak-agak berapa upah diaorang dapat.....

Macam biasa laa bila ada saja 'demonstrasi', maka semua pihak terutama pak-pak menteri akan memberikan komen. Media massa, elektronik dan seluruh jenis media akan berebut-rebut mendapatkan pandangan dan komen dari semua pihak.

Namun selepas peristiwa demo GMI ni, wak tertarik dengan ulasan yang dibuat oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan. Wak rasa inilah komen yang boleh memenangi kategori 'Komen Paling Lawak'.

Cubalah korang congak agak-agak berapa kos nak upah diaorang semua niii... Lu kira laa sendiri.....

PUTRAJAYA 3 Ogos - Sebahagian individu yang menyertai perhimpunan haram membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di ibu negara, Sabtu lalu dipercayai telah diupah oleh pihak tertentu.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, sumber yang diperoleh pihaknya turut mendapati motif perhimpunan bertujuan mengalihkan perhatian rakyat terhadap beberapa kes mahkamah termasuk kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

''Anak-anak muda yang mengambil bahagian ini secara sinis mengatakan mereka terima upah untuk berarak. Ini agak mengejutkan pihak penganjur kerana mungkin tidak menyangka rahsia mereka akhirnya bocor juga.

''Motif perhimpunan juga mahu mengalih perhatian rakyat terhadap kes mahkamah tertentu dan ini diperoleh daripada maklum balas yang diperoleh ," katanya ketika dihubungi hari ini.

Perhimpunan haram anjuran Gabungan Mansuhkan ISA (GMI) itu mengakibatkan orang ramai terperangkap dalam kesesakan jalan raya manakala peniaga menutup premis masing-masing.

Berikutan itu, banyak pihak menuntut tindakan tegas harus dikenakan terhadap dalang di sebalik GMI supaya kejadian tersebut tidak berulang.

H1N1 : Mencatat 2 Lagi Kematian

Dua wanita mangsa H1N1...

KUALA LUMPUR - Penularan pandemik selesema babi (H1N1) di negara ini semakin membimbangkan apabila ia meragut dua lagi nyawa iaitu masing-masing satu di Hospital Miri dan di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), Seremban semalam.

Korban ketujuh : Seorang ibu muda berusia 23

Korban ketujuh membabitkan seorang ibu muda berusia 23 tahun yang baru melahirkan anak di Hospital Miri.

Mangsa menjadi kes kematian ketujuh telah disahkan mendapat jangkitan H1N1 pada 23 Julai dan disahkan meninggal dunia pada pukul 4 pagi semalam disebabkan komplikasi pada paru-paru.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, pada mulanya mangsa telah bersalin di hospital berkenaan pada 21 Julai dan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) sehari selepas itu.

"Selepas bersalin, mangsa didapati mengidap pneumonia yang teruk dan menunjukkan simptom demam serta batuk empat hari sebelum bersalin.

"Kematian mangsa direkodkan sebagai pneumonia akibat jangkitan H1N1," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Bagaimanapun, bayi mangsa selamat dan disahkan bebas daripada jangkitan H1N1.

Korban kelapan : Seorang wanita berusia 51 tahun

Mangsa kelapan pula membabitkan seorang wanita berusia 51 tahun yang berasal dari Kuala Selangor yang disahkan meninggal dunia di HTJ malam kelmarin.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan, Dr. Zainal Ariffin Omar ketika dihubungi berkata, wanita itu dimasukkan ke HTJ pada hari kejadian dan meninggal dunia kira-kira pukul 11.50 malam.

8.03.2009

Mayat Bayi Dalam Mangkuk Tandas

1Malaysia Boleh... Apa nak jadi!!

GURUN - Jika sebelum ini suasana Sekolah Menengah Agama Pekan Gurun di sini sentiasa aman namun semalam keadaannya bertukar kecoh apabila seorang guru terkejut menemui satu mayat bayi dalam mangkuk tandas guru wanita di sekolah itu.

Perkara itu kemudian dilaporkan kepada polis dan dalam sekelip mata sekolah tersebut didatangi beberapa anggota polis dan dua pasukan bomba.

Mayat bayi perempuan yang dikatakan seberat tiga kilogram itu tersangkut pada mangkuk tandas dan anggota bomba dipanggil pagi mengeluarkan mayat bayi itu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali berkata, mayat bayi yang tidak berpakaian itu ditemui oleh seorang guru wanita pada pukul 8 pagi semasa beliau pergi ke tandas itu.

Menurut beliau, daripada keadaan mayat, bayi yang masih bertali pusat itu dipercayai telah mati dalam tempoh dua hari lalu.

"Polis yang memeriksa mayat bayi itu menemui kesan darah kering pada badan bayi yang sudah cukup sifat itu.

"Bayi itu dipercayai telah dibuang atau mati dalam mangkuk tandas itu sejak Jumaat lalu iaitu semasa sekolah itu cuti," kata beliau di sini semalam.

Menurut beliau, setakat ini polis belum mengetahui siapa ibu kepada bayi itu.-KOSMO

'Rakyat mahu perubahan'

Mansuhkan ISA...

Kerajaan berdepan dengan kecaman hebat kerana menangkap beratus-ratus orang dan menggunakan gas pemedih mata dan merima air untuk menyuraikan perhimpunan menentang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang membolehkan penahanan tanpa bicara, semalam.

Pemimpin badan hak asai manusia juga turut mengecam tindakan polis semalam. Presiden Aliran, P Ramakrisnan mengutuk tindakan keras polis ketika menyuraikan perarakan aman anti-ISA semalam.

Tegasnya, ribuan rakyat Malaysia yang prihatin menyertai perhimpunan semalam atas tanggungjawab patriotik mereka yang menolak ISA kerana disalahgunakan oleh BN.

Penganalisa politik, Khoo Kay Peng berkata, keputusan pilihanraya umum 2008 yang menyaksikan ramai rakyat menolak kerajaan BN, menunjukkan mereka mahu kebebasan yang lebih luas.

"Rakyat mahukan perubahan. Jika BN mahu kekal berkuasa, maka ia mesti mendengar hasrat rakyat yang mahukan kebebasan dan supaya hak individu dihormati," tambahnya.

"Mereka turun ke jalanan kerana kerajaan tidak menyediakan ruang alternatif untuk mendengar kehendak rakyat," katanya.

Khoo berkata, BN yang sedang berusaha memulihkan sokongan rakyat selepas pilihanraya umum 2008, berdepan dengan kemungkinan kalah dalam pilihanraya umum akan datang jika ia masih gagal melaksanakan pembaharuan demokrasi di negara ini.

H1N1 : Kanak-kanak Tidak Menunjukkan Symtom

Kanak-kanak 10 tahun mangsa kelima..

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, seorang kanak-kanak perempuan, Nor Shaqikah Roshisham, 10, dari Matang Gerdu, Bagan Serai dilapor meninggal dunia di Klinik Kesihatan Bagan Serai, Perak pada pukul 5.30 pagi kelmarin.

"Ujian sampel kahak yang diambil semasa bedah siasat terhadap mayat kanak-kanak itu mengesahkan mangsa positif jangkitan H1N1 oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR)," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Ismail berkata, mengikut maklumat, kanak-kanak itu mula sakit pada 27 Julai tetapi tidak demam atau mempunyai sebarang gejala jangkitan pernafasan semasa mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di sebuah klinik swasta.

Menurutnya, pesakit kembali semula ke klinik yang sama kelmarin dan semasa pemeriksaan pada pukul 5 pagi, mangsa mengalami sesak nafas, demam dengan suhu 39 darjah celsius sebelum tiba-tiba tidak sedar dan meninggal dunia 30 minit kemudian.


Kanak-kanak 11 tahun mangsa keenam H1N1

Kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun menjadi mangsa keenam penyakit Influenza A (H1N1). Kanak-kanak dari Johor Bahru itu meninggal akibat komplikasi hari ini. Sementara itu, 39 lagi kes baru dicatatkan, kesemuanya jangkitan tempatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Seri Ismail Merican berkata kanak-kanak tersebut di dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru pada 29 Julai dengan symptom demam selama sehari.

Menurutnya, tiada simptom batuk dan lain-lain tanda gangguan pernafasan. Semasa dalam rawatan keadaan klinikal pesakit bertambah tenat dan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) pada 30 Julai.

"Hasil pemeriksaan mendapati pesakit mempunyai jangkitan paru-paru dan myocarditis. Pesakit disahkan mengidap jangkitan influenza A(H1N1) pada jam 11.00 pagi 1 Ogos 2009.

"Akibat komplikasi jangkitan pesakit disahkan meninggal dunia pada jam 8.30 pada 2 Ogos semasa dalam rawatan di ICU," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

8.02.2009

1 MALAYSIA BERDEMO ANTI ISA

1 OGOS 1 MALAYSIA...

Perhimpunan Gerakan Mansuhkan ISA sekalipun dihalang untuk menyerahkan memorandum kepada DYMM Yang Dipertuan Agong namun, yang nyata, dunia menyaksikan hari ini rakyat berbilang kaum telah bangkit dalam bilangan yang ramai sehingga mencecah 100,000 orang (sekalipun angka oleh media massa hanya 20,000).

Mereka berdepan dengan anggota polis yang melepaskan tembakan gas pemedih mata serta tembakan meriam air di lokasi perhimpunan di kompleks membeli-belah SOGO, sekitar Masjid Jamek, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Raja Laut, Dataran Merdeka, di Masjid Negara serta di ibu pejabat PAS di Jalan Raja Laut.

Mereka mula berkumpul jam 2 petang di tempat-tempat berkenaan dan anggota polis, termasuk Unit Simpanan Persekutuan (FRU), yang bertindak meleraikan orang ramai, termasuk menangkap.

Seramai 589 orang termasuk 44 remaja bawah umur 18 tahun dan 40 wanita ditangkap perhimpunan menentang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di beberapa tempat di tengah Kuala Lumpur sepanjang hari ini, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah.

Perhimpunan Mansuhkan ISA dianggap berjaya oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila lebih 100 ribu berhimpun di ibu negara hari ini walaupun mereka tidak berjaya berarak ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum akibat sekatan tegar polis.

Dalam sidang media bersama pemimpin Pakatan Rakyat dan GMI di pejabat agung PAS, Anwar berkata, tindakan tegar polis menghalang perarakan ke Istana Negara menyebabkan peserta perhimpunan berselerakan di seluruh ibu negara.

Turut serta berada di ibu negara adalah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Seperti dijangka Gerakan Anti-ISA tidak bertempur dengan PRO-ISA tetapi bertempur dengan FRU. FRU berjaya menghalang Anti-ISA ke Istana Negara apabila seperti biasa menghalang dengan pancutan iar water canon dan asap pemedih mata.

Namun semangat 1MALAYSIA tidak menghalang bagi pejuang-pejuang Anti ISA untuk meneruskan misi walaupun menghadapi tentangan yang amat dahsyat dari pihak berkuasa.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul iskandar Mohd Akin di dalam kenyataannya menyatakan AMK Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan ganas pihak polis menyerang, mengganasi dan menangkap rakyat Malaysia yang melaksanakan hak mereka untuk berhimpun secara aman di Kuala Lumpur hari ini, menuntut pemansuhan akta zalim ISA.

Sementara itu, seorang Ketua PAS Peringkat Bahagian menyatakan, isu ISA dan kezaliman polis hari ini pasti akan dibawa ke Permatang Pasir dan UMNO BN perlu dihukum oleh rakyat kerana membiarkan polis bertindak sewenang-wenang ke atas rakyat.

Apabila disebut RAKYAT maka ia bukan sahaja dalam kalangan orang dewasa malah 1 Malaysia rakyat Malaysia; tua muda, lelaki wanita, kecil besar, kanak-kanak dan dewasa, Melayu, India dan Cina telah dengan rakus sekali menerima layanan amat amat ganas daripada pihak polis. Malah boleh dikatakan ia lebih ganas daripada apa yang telah dilakukan semasa Himpunan Bersih dulu.

Keganasan hari ini yang menindas dan menekan suara rakyat Malaysia ternyata mendedahkan omongan kosong '1 Malaysia' yang dilaung-laungkan oleh Perdana Menteri.

Angkatan Muda Keadilan Malaysia menggesa Dato' Seri Najib Razak untuk membuktikan bahawa pentadbiran beliau bukan hanya berasaskan slogan-sloganan semata-mata dengan membuka ruang demokrasi dan bersuara kepada seluruh rakyat Malaysia.

H1N1 Wabak Yang Kian Menakutkan

Hingga 28,000 di M'sia mungkin mati akibat H1N1

Dianggarkan 5,500 hingga 28,000 rakyat Malaysia akan mati dalam wabak selesema A (H1N1) jika 20 peratus daripada 27.7 juta penduduk negara ini dijangkiti virus tersebut.

"Daripada angka ini (5.5 juta orang dijangkiti), jika kita anggarkan kadar kematian antara 0.1 hingga 0.5 peratus, kira-kira 5,500 hingga 28,000 penghidap selesema itu akan meninggal dunia," kata presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Dr David KL Quek memetik unjuran yang dibuat pengarah penyakit berjangkit Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr Tee Ah Sian dalam satu mesyuarat pasukan kebangsaan petugas khas menangani wabak itu, pada awal minggu ini.

Dalam perkembangan terkini, kadar kematian di seluruh dunia meningkat daripada 0.4 kepada 0.66 peratus.

Dr Quek mendedahkan maklumat itu dalam artikelnya "Flu measures: Confusion rather than non-compliance" yang diedarkan kepada beberapa media semalam.

Menurutnya lagi, wabak itu dijangka sekurang-kurangnya berlarutan antara satu hingga dua tahun sebelum reda - sama ada virusnya berubah dalam bentuk lebih lemah atau vaksin telah ditemui untuk membasminya. - Malaysiakini

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails